Pages

Labels

Rabu, 23 Oktober 2013

Peribahasa dalam Buku Teks

Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 4
 
1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.
2. Darah daging
Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.
3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.
4. meninggi diri
Maksud : Sombong
5. bermuka dua
Maksud : Tidak jujur.
6 baik hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).
7. tulang belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan
8. bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.
9. bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.
10. melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.
11. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat
12. seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang
13. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.
14. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.
15. terang hati
Maksud : Lekas pandai.
16. rendah hati
Maksud : Tidak sombong
17. murah hati
Maksud : Pemurah.
18. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.
19. Tangan kosong
Maksud : Hampa.
 
 
Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 5

1. lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.
2. bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.
3. anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat
4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.
5. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah
6. indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.
7. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.
8. bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.
9. kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.
10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.
11. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan
12. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..
13. memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.
14. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah
15. berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.
16. yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha
17. sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.
18. bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.
19. bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.
20. yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.
21. mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.
22. biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.
23.sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.
24. berbesar hati
Maksud : Gembira.
25. anak buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.
26. tuan rumah
Maksud : tempat berlangsungnya sesuatu acara
27. yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.
28. batu penghalang
Maksud : Halangan
29 untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.
30. bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

Menangani Isu Bahasa Rojak

ISTILAH bahasa rojak bukan istilah ilmu. Istilah ini dicipta mereka yang prihatin akan situasi dan nasib bahasa Melayu. Boleh dikatakan isu ini diperkatakan saban tahun di negara kita memandangkan apa yang disaran dan dicadangkan tentang isu ini tidak pernah membawa apa-apa hasil yang diharap-harapkan.
 
Terbaru, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyarankan agar diwujudkan semula Jawatankuasa Penyelaras dan Penyeragaman Bahasa agar memastikan semua stesen media di negara kita menggunakan bahasa yang sama untuk penonton.

Penyeragaman ini sangat penting memandangkan siaran radio dan televisyen mendapat sambutan ramai di kalangan penonton dan pendengar serta sudah semestinya bahasa memainkan peranan sangat besar untuk menyampai maklumat dan pelbagai lagi. Beberapa kertas kerja mengenai bahasa dibentangkan dalam Seminar Bahasa dalam Penyiaran anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) baru-baru ini yang dihadiri wakil stesen penyiaran tempatan.

 Nasib bahasa kebangsaan dianggap membimbangkan ekoran sikap kita yang tidak begitu peka tentang peranan dan masa depan bahasa sendiri.

Stesen penyiaran juga tidak terlepas daripada menghadapi masalah ini kerana ada rancangan membabitkan penyertaan penonton yang kebanyakannya tidak ambil kisah tentang penggunaan bahasa mereka. Penggunaan bahasa rojak yang semakin meluas terutama kiriman ucapan tahniah, selamat pagi dan sebagainya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) oleh penonton menjadikan kita keliru dengan identiti bahasa kita sendiri.

Maka ramai yang merumuskan bahawa identiti bahasa kita semakin terkikis. Lama-kelamaan bahasa rojak dianggap akan menguasai pertuturan, penulisan dan lebih malang dalam penulisan karangan di sekolah sudah dikatakan ada penggunaan bahasa rojak di kalangan pelajar sehingga menjejaskan markah.

Menurut definisi, bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur iaitu antara bahasa ibunda dengan bahasa asing. Bagaimanapun, ramai yang mendefinisikan ia sebagai percampuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.

Apa pun, definisi bahasa rojak dalam konteks perbualan dan penulisan harian di negara kita boleh diperluaskan kepada pelbagai tafsiran. Kita juga boleh menganggap percampuran antara bahasa baku dengan istilah serta penggunaan kata dalam penulisan serta pengucapan lain daripada bahasa baku adalah bahasa rojak.

Contohnya, jika kita menggunakan kata singkatan seperti ‘tak’, ‘nak’, ‘mau’, ‘tau’, dan beberapa lagi juga adalah sebahagian daripada bahasa rojak yang sebenarnya tidak boleh diucapkan dan ditulis dalam majlis dan urusan rasmi. Jika kita menggunakan bahasa remaja dalam pertuturan harian seperti ‘awek’, ‘cun’, ‘kantoi’, ‘cilok’, ‘otai’ dan sebagainya juga adalah sebahagian daripada bahasa rojak jika disalah guna dalam urusan rasmi. Adalah dikesalkan jika ada akhbar harian yang meletakkan kata-kata ini sebagai tajuk sesuatu berita meskipun hakikatnya penggunaan istilah tersebut sudah sebati di kalangan remaja negara kita. Sasaran utama perbincangan orang ramai tentang kekuatan pengaruh bahasa rojak jika dikaitkan dengan media massa adalah penglibatan orang ramai dalam khidmat SMS yang terpapar di skrin televisyen. Di sinilah kita dapat melihat pelbagai istilah baru diketengahkan kepada khalayak sehingga ada yang membawa masuk istilah ini ke dalam urusan rasmi. Datuk Seri Dr Rais Yatim pernah menyuarakan kebimbangannya mengenai sikap orang kita yang gemar bercakap separuh belut separuh ular. Pencinta bahasa lain turut menyatakan rasa tidak puas hati kerana kualiti bahasa kebangsaan semakin merosot penggunaannya dan mereka membayangkan apa yang bakal terjadi sepuluh atau dua puluh tahun akan datang jika usaha menanganinya tidak dilakukan dari sekarang. Punca utama berlakunya penggunaan bahasa rojak adalah sikap kita sendiri yang mementingkan bahasa asing daripada bahasa sendiri. Kemasukan istilah asing yang dianggap lebih sesuai dan dapat mengangkat imej penuturnya terutama bagi masyarakat bandar memburukkan lagi keadaan.

Perubahan zaman selalunya menempiaskan istilah baru yang diguna pakai dalam pelbagai bidang. Ada yang menganggap sesiapa yang tidak pandai menyesuaikan diri atau tidak boleh menggunakan dan memahami istilah baru terutama dari luar adalah mereka yang ketinggalan zaman.

Kita sebenarnya bukan tidak boleh menggunakan bahasa sendiri. Contohnya, jika kita mengadakan kempen tentang bahasa, Minggu Bahasa atau Bulan Bahasa, sesiapa pun akan berusaha dan bercakap dengan bahasa yang betul dan berusaha menggunakan bahasa sendiri sepenuhnya.

Apabila selesai kempen, bahasa rojak muncul semula dan apa yang dilaung-laungkan atau dipraktikkan semasa kempen lenyap begitu saja.

Bagaimanapun, adalah merugikan masa dan wang jika kita berkempen tentang sesuatu yang sebenarnya menjadi milik kita zaman berzaman dan sesuatu yang dilaung-laungkan itu sebenarnya boleh kita lakukan sendiri tanpa didesak dan dipandu arah oleh sesiapa.

Ironinya, jika kita tahu sampah itu tidak elok, kita tidak akan menyimpan sampah dan membuangnya di merata-rata tempat. Dalam bahasa pun, jika kita tahu ada ‘sampah’, kita tidak boleh menyimpannya tetapi hendaklah dibuang.

Pihak yang memperlekeh atau memandang rendah kepada bahasa Melayu semestinya melihat keupayaan bahasa Melayu bukan hanya di negara kita saja kerana bahasa Melayu dituturkan lebih kurang 300 juta penduduk di dunia. Bagi bangsa Melayu, jika mereka lebih gemar menggunakan bahasa rojak, jelaslah mereka memperlekeh bahasa sendiri. Bagi orang India dan Cina misalnya, apabila mereka lebih gemar berbahasa Inggeris dalam pertuturan, bermakna mereka tidak yakin akan keupayaan bahasa Melayu meskipun di sekolah, mereka mesti belajar dan mendapat kepujian dalam bahasa Melayu.

Orang Indonesia pula memandang kita sebagai masyarakat yang tidak mempunyai pendirian teguh dalam bahasa sendiri. Kerana itulah ada antara mereka yang belajar bercakap Inggeris terlebih dulu sebelum datang ke negara kita kerana bagi mereka, orang kita lebih banyak bercakap Inggeris daripada menggunakan bahasa sendiri.

Media sangat penting membentuk masyarakat tidak kira golongan untuk menangani bahasa rojak. Meskipun tidak boleh dibendung seratus-peratus, tetapi usaha mengawal bagi sesetengah rancangan yang nyata menggunakan bahasa rojak sangat perlu.

Media boleh mensyaratkan hanya SMS yang menggunakan bahasa betul saja dipaparkan untuk khalayak. Media juga mesti mempunyai kata sepakat dalam usaha membanteras penggunaan bahasa rojak supaya tidak timbul kekeliruan masyarakat. Orang ramai, tidak kira sama ada golongan elit, masyarakat pertengahan atau bawahan yang terlibat dalam rancangan televisyen terutama ketika diwawancara untuk siaran televisyen mesti berusaha menggunakan bahasa yang betul.

Media juga perlu merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menentukan penggunaan bahasa yang betul sebelum diketengahkan kepada umum. Dengan cara ini keseragaman dapat diwujudkan, imej bahasa dapat dipertingkat dan kekeliruan dapat dielakkan.

Kesalahan tatabahasa yang sering dilakukan oleh pelajar KV Kens

Kesalahan tatabahasa sering dilakukan oleh murid. Jumlah kesalahan tatabahasa yang banyak menunjukkan anda tidak mahir menulis karangan. Kesalahan ini akan menjejaskan markah anda. Oleh itu, jangan memandang enteng terhadap kesalahan-kesalahan berikut:-
Kesalahan serius yang kerap dilakukan murid semasa menulis karangan adalah seperti berikut :

 1. Penggunaan kata hubung pada awal ayat sebagai penanda wacana :
Namun, Tetapi, Malah, Manakala
Sepatutnya : Akan tetapi, Namun begitu, (Penanda wacana)
…..manakala……, ……malah…. (ditulis untuk menghubungkan dua ayat)
 
2. Ayat tergantung. ( Bak kata pepatah…..) ditulis pada awal ayat. Sepatutnya …..bak kata pepatah….(ditulis di dalam ayat)
 
3. Kesalahan ejaan…bah kata peribahasa….sepatutnya …bak kata peribahasa. ‘bah’ membawa maksud ‘banjir’.
 
4. memberi kasih sayang …… sepatutnya memberikan kasih sayang. Umumnya, kata kerja ‘memberikan’ perlu diikuti oleh objek tidak bernyawa manakala ‘memberi’ diikuti objek bernyawa.
 
5. Ayat tergantung kerana tiada subjek. Ini menunjukkan….. sepatutnya Hal/ Perkara ini menunjukkan……
 
6. Ini kerana …… sepatutnya Hal ini demikian kerana…
 
7. Justeru itu, …digunakan sebagai penanda wacana. ‘justeru’ ialah kata hubung yang membawa maksud ‘malahan’ atau ‘bahkan’.
 
8. Tidak menyelitkan objek selepas kata kerja transitif. …mempunyai banyak pilihan….. ‘banyak’ bukannya objek. ‘banyak’ ialah kata bilangan tidak tentu. Objek mesti kata nama. Pembetulan : ….. mempunyai pilihan yang banyak…
 
9. Kata pemeri ‘ialah’ dan ‘adalah’ digunakan sesuka hati. ‘ialah’ perlu diikuti kata nama nama. ‘adalah’ perlu diikuti kata adjektif atau kata sendi nama.
 
10. Kata kerja tidak menerima kata pemeri. Anda perlu tambah kata sendi nama pada kata pemeri ‘adalah’. Sebagai contoh: Langkah-langkah yang perlu diambil adalah menguatkuasakan undang-undang……sepatutnya ….adalah dengan menguatkuasakan………/ adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan… antara kata sendiri nama yang dapat digunakan ( adalah untuk/adalah dengan/adalah melalui, adalah seperti)
 
11. Bentuk lewah. Sebagai contoh : Antara faktor-faktor …… sepatutnya Antara faktor. Pelbagai langkah-langkah ….. sepatutnya …. Pelbagai langkah…
 
12. Bentuk lewah bagi pengimbuhan kata adjektif. Hanya dua imbuhan sahaja digunakan. Sebagai contoh: memperbaiki…..sepatutnya …membaiki atau memperbaik.
 
13. Kesalahan Hukum D-M. Sebagai contoh: …dan lain-lain lagi. Sepatutnya…. aktiviti-aktiviti lain. (berdasarkan perkara yang dibincangkan).
 
14. Penggunaan kata ganti nama diri ketiga ‘ia’ untuk benda atau perkara. Sebagai contoh: Salah satu langkah untuk mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar adalah dengan menjalankan kempen. Ia perlu diadakan secara besar-besaran. ‘ia’ sepatutnya digantikan dengan subjek perbincangan iaitu, kempen. Pembetulan: Kempen ini perlu diadakan ……
 
15. Masih terdapat murid yang masih menulis …di kalangan…..sepatutnya ‘dalam kalangan’. Kata sendi ‘di’ berfungsi untuk menyatakan arah.
 
16. Pada masa kini….sepatutnya Pada masa ini, atau Kini,.
 
17. Kesalahan penanda wacana. Sebagai contoh : Selain daripada itu/ Selain dari itu , sepatutnya …
 Selain itu,… Sehubungan itu sepatutnya…. Sehubungan dengan itu,…
 
18. oleh kerana.. sepatutnya oleh sebab…
 
19. Penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Sebagai contoh : …di mana, yang mana, bagaimana, siapa, apa ….. sepatutnya kata-kata tersebut digantikan dengan kata-kata lain yang sesuai. Sebagai contoh : apa – (perkara/hal), bagaimana – (cara/langkah), siapa – (orang/individu).di mana (tempat) /yang mana perlu digantikan dengan kata hubung yang sesuai.
Jika anda menulis ayat tanya, pastikan anda meletakkan tanda soal (?).
 
20. Kesalahan pengejaan kata majmuk. Ibubapa sepatutnya ibu bapa, semulajadi sepatutnya semula jadi.
 
21. Penggunaan kata hubung ”tambahan pula” pada pangkal perenggan. “tambahan pula” tidak digunakan untuk isi baharu.
 

Kepada para pelajar, anda perlu berhati-hati semasa menulis. Sila buat semakan tatabahasa apabila selesai menulis karangan. Ketelitian anda amat dihargai. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh. Penulisan karangan memerlukan kemahiran. Kemahiran perlu diasah dengan latihan yang mencukupi. Ingatlah, penulisan karangan tidak boleh dipelajari secara IMAGINASI.

Jumaat, 27 September 2013

Isu dan Cabaran Bahasa Kebangsaan dalam Iklan

SEBAGAI rakyat Malaysia, kita maklum bahawa negara kita mengiktiraf  bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini semua media komunikasi termasuk iklan tidak terkecuali.
 
Justeru, sewajarnya iklan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Namun yang sebaliknya berlaku, apabila terdapat lambakan iklan berbahasa Inggeris sama ada yang sepenuhnya berbahasa Inggeris atau  “bahasa rojak” yang masih berlaku dari dahulu sehingga sekarang?  Kebebasan berkreativiti  dalam mengiklankan produk terus dijadikan alasan oleh  pengiklan mahupun agensi pengiklanan untuk terus meminggirkan bahasa kebangsaan.

 Selain itu, penggunaan bahasa dalam iklan harus tepat mesejnya kepada sasaran. Para pengiklan dan agensi pengiklanan bimbang jika mereka tidak menggunakan laras bahasa yang digunakan oleh golongan sasaran itu, maksud iklan tidak sampai kepada sasaran. Jika itu asasnya, wajarkah penggunaan slanga dalam iklan digunakan untuk iklan produk golongan remaja? Hal ini sewajarnya tidak berlaku kerana agensi pengiklanan mempunyai tanggungjawab sosial untuk turut mendidik pelbagai peringkat khalayak termasuk golongan remaja melalui iklan yang dihasilkan agar mereka menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul tanpa mementingkan keuntungan semata-mata.
 
Isu iklan berbahasa Inggeris atau iklan berbahasa Melayu yang tidak betul dan baik dalam pengiklanan adalah tanggungjawab kita semua. Kita tidak boleh menuding jari menyalahkan pihak agensi pengiklanan kerana terbukti terdapat penulis iklan yang berkebolehan dan tanpa jemu berusaha menghasilkan iklan yang menarik hati khalayak dengan menggunakan bahasa kebangsaan yang baik, betul dan berkesan walaupun golongan ini cuma segelintir sahaja.

Jumaat, 16 Ogos 2013

Bahasa SMS Membina atau Menghakis Bahasa Melayu

Ledakan komunikasi teknologi maklumat pada masa kini telah memungkinkan pelbagai maklumat mahupun berita dapat disalurkan kepada pengguna dengan begitu pantas dan mudah. Hal ini disebabkan, perkembangan teknologi maklumat yang kian membangun telah merubah cita rasa masyarakat untuk menerokai alam maya sebagai medium mendapatkan maklumat, merapatkan hubungan rakan taulan dan medan berdiskusi.

 Jika dahulu ramai dalam kalangan kita setiap pagi berpusu-pusu membeli akhbar untuk mengetahui isu negara, namun hari ini masyarakat lebih gemar membaca berita menerusi internet dan laman-laman blog. Era kebangkitan teknologi maklumat sebenarnya telah lama bertapak di Malaysia sejak awal 80-an lagi, namun fungsi dan pengamalannya amat terhad yang mana ketika itu pendedahan masyarakat terhadap kemudahan internet dan sistem komunikasi seperti telefon bimbit masih lagi belum meluas.
 
Namun, hari ini suasana negara amat berbeza berbandingan 20 atau 30 tahun yang lalu. Telefon bimbit bukan hanya sekadar berfungsi sebagai medium untuk komunikasi semata-mata malah telefon bimbit masa kini telah dilengkapi dengan pelbagai aplikasi bercorak IT seperti kemudaan akses internet, kemera, permainan digital, aplikasi 3G dan sebagainya. Kemudahan sistem pesanan ringkas atau bahasa Inggerisnyashort message service (SMS) antara aplikasi yang disediakan oleh syarikat penyedia telekomunikasi. Para pengguna berpeluang menyampaikan mesej atau maklumat kepada teman, ibu bapa mahupun insan tersayang dengan mudah dan pantas.
 
Pada awal kemunculannya, komunikasi menerusi SMS hanya melibatkan komunikasi bersifat dua hala iaitu pengirim dan penerima, dan boleh dibaca melalui layar telefon bimbit. Perubahan globalisasi pada abad ini dan ledakan kuasa IT telah mengubah fungsi SMS bukan sekadar menyampaikan maklumat kepada teman-teman rapat sahaja tetapi diperluaskan fungsinya sebagai medium perhubungan yang lebih kompleks merentasi benua. Ditambahkan lagi, tidak dinafikan juga dengan adanya kemudahan SMS ini membuka ruang dan peluang kepada pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
 
Hal ini dapat kita lihat dengan adanya pelbagai pertandingan yang menawarkan pelbagai hadiah yang lumayan tetapi menghendakkan para peserta menghantar SMS untuk menyertai pertandingan tersebut, kadar caj akan dikenakan bagi setiap SMS yang dihantar. Benarlah bahawa kemudahan SMS bukan sahaja untuk fungsi perhubungan namun lebih daripada itu.
 
Perkembangan pesat sistem telekomunikasi negara ditambahkan pula pelbagai pakej yang ditawarkan oleh syarikat penyediaan telekomunikasi menjadikan kemudahan SMS salah satu trend penduduk Malaysia sejak awal kemunculannya pada tahun 1995.
 
Pada awal kemunculan telefon bimbit di pasaran Malaysia, kemudahan telekomunikasi ini hanya terhad untuk kemudahan perhubungan melalui dail terus atau khidmat SMS. SMS secara mudah untuk difahami adalah satu sistem kemudahan untuk menghantar maklumat daripada pengirim kepada penerima dengan menggunakan ayat-ayat yang ringkas dan padat.
 
Namun, harus dibezakan SMS dengan e-mel. Hal ini disebabkan e-mel diperkenalkan menghendakkan para penggunanya menghantar maklumat dengan menggunakan ayat lebih tersusun dan teratur, tetapi SMS pula maklumat yang dihantar kepada penerima menggunakan ayat yang lebih ringkas tetapi mencapai makna yang dikehendaki. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini perkhidmatan SMS masih diperlukan oleh segenap pengguna telefon bimbit untuk berhubung atau menghantar pesanan ringkas.
 
Penyakit menggunakan singkatan kata yang tidak mengikut standard yang telah ditetapkan membawa satu cabaran baru kepada keutuhan bahasa Melayu. Suatu penyakit yang kian parah melanda pengguna SMS ketika ini membuatkan fenomena ini semakin hari semakin menjelikkan mata para pencinta bahasa Melayu. Persoalannya adalah, adakah bahasa SMS membina atau menghakis bahasa Melayu?
 
Walaupun isu bahasa SMS bukanlah isu baru, namun fenomena ini masih kurang mendapat perhatian daripada golongan cendekiawan bahasa mahupun golongan autoriti yang mempunyai kuasa untuk membincangkan hal ini. Ditambahkan lagi, menurut Rubiah di dalam jurnal Analisis Linguistik Terhadap Penggunaan Bahasa SMS Dalam Kalangan Guru Pelatih menyatakan bahawa terdapat penggunaan bahasa ringkasan secara berleluasa berbanding dengan bahasa sebenar kerana penerimaannya lebih selari dengan aliran kini sehinggakan remaja kurang berminat untuk berkomunikasi melalui bahasa utama diyakini bahasa Melayu.
 
Daripada kenyataan ini dapat fahami bahawa perkembangan sesuatu bahasa itu adalah disebabkan penerimaan golongan penuturannya menyebabkan sesuatu kod bahasa itu diterima pakai dan diserapkan di dalam bahasa tersebut. Walaupun bahasa Melayu terkenal dengan sifat dinamisnya, dan adakah bahasa SMS juga boleh dikategorikan sebagai di damika bahasa yang mana boleh digunakan di dalam acara-acara rasmi.
 
Pasti ramai menyatakan tidak kerana bahasa SMS adalah sesuatu bahasa hanya bersifat peribadi dan kata yang digunakan sering mengalami potongan ejaan dan kata sehinggakan sesuatu kata itu di tidak difahami daripada maksud kata aslinya. Hal ini selari dengan pendapat Supyan Husain dalam makalahnya Bahasa SMS Bahasa Dinamis? Terbitan Dewan Bahasa Edisi Mei 2005 yang menyatakan bahasa teknologi maklumat dan komunikasi mengwujudkan bahasa sistem mesej singkat (SMS) bagi memudahkan komunikasi.
 
Dalam makalah yang sama, Supyan Husain telah memetik pendapat daripada Hansson dan Sylvia yang mana berpendapat bahawa bahasa SMS yang wujud dan berleluasa dalam kalangan masyarakat tatkala ini disebabkan beberapa faktor antaranya ruang paparan telefon bimbit, masa dan juga kewangan.
 
Hal ini dapat dijelaskan bahawa ruang paparan telefon yang terhad yang hanya dapat menerima aksara yang terhad mendesak para pengguna SMS meringkaskan perkataan dengan melanggar prinsip sistem nahu dan juga sistem ejaan sesuatu bahasa dan diyakini bahasa Melayu. Contoh kata yang popular yang sering menerima ringkasan daripada pengguna SMS seperti “daripada” ditulis dpd, “semalam” menjadi smlm,“tidak” ditulis dengan simbol xatau x mao dan sebagainya. Ditambahkan lagi, tidak nafikan bahawa faktor masa juga antara faktor penyumbang kepada berlaku singkatan kata di dalam SMS.
 
Hal ini disebabkan, di dalam dunia yang penuh cabaran dan persaingan yang sengit faktor masa amat dititik beratkan, bak kata pepatah “masa itu emas”. Lantas para pengguna SMS hanya menggunakan singkatan dalam menyampaikan maklumat seperti contohnya “Saya tidak hadir makan malam. Saya demam” dan digantikan Sy xgi mlm ni. Dmam. Malah, faktor kewangan juga antara penyebab mendorong berlakunya singkat kata di dalam SMS. Hal ini disebabkan walaupun SMS yang dikirimkan panjang mahupun pendek kadar caj yang dikenakan oleh penyedia kemudahan telekomunikasi yang dilanggan adalah sama. Bagi menjimatkan kos, para pengguna SMS lebih gemar menggunakan SMS yang lebih pendek untuk menjimatkan kos perkhidmatan.
 
Ditambah beliau lagi, bahasa SMS tidak boleh menggantikan bahasa Melayu rasmi tetapi memungkinkan komunikasi menjadi lebih pantas. Tidak dinafikan juga di dalam dunia yang penuh cabaran ini setiap daripada kita sentiasa berkejar mendahului masa untuk mencapai sesuatu yang dikehendaki. Namun kita perlu sedari bahawa kepantasan itu bukanlah lesen untuk mengwujudkan bahasa “baharu” yang melanggar konvensi, seperti peraturan nahu dan ejaan.

 Bahasa SMS menjejaskan sistem Bahasa Melayu
 
Adakah bahasa SMS menjejaskan nilai dan sistem Bahasa Melayu? Satu persoalan pokok yang perlu mendapat pencerahan yang maksimum daripada cerdik pandai bahasa supaya masyarakat tidak terkeliru dengan isu ini. Hal ini disebabkan, ramai dalam kalangan masyarakat yang membahasakan isu ini di dalam medan media massa dan menyatakan bahawa bahasa SMS akan menjejaskan keaslian bahasa Melayu. Benarkah dakwaan ini? Jika ditinjau dari sudut nahu, jelas kepada kita bahawa komunikasi bahasa SMS ini tidak mengikut binaan ayat yang ditetapkan iaitu subjek dan predikat.
 
Menurut Jyh Wee Sew dalam makalahnya Komunikasi Kreatif SMS? Terbitan Dewan Bahasa Edisi Mei 2005 menyatakan gabungan subjek dan predikat tidak diperlukan dalam komunikasi SMS kerana proses saling rujuk bersemuka diwujudkan dalam komunikasi telefon bimbit. Tambah beliau lagi, di dalam komunikasi SMS tidak memerlukan kata panggilan atau kata ganti nama yang sopan kerana segala rujukan penerima SMS diubahsuai ke dalam ruang bersemuka yang diwujudkan dalam komunikasi digital.
 
Di samping itu, bahasa SMS juga sering menggugurkan kata panggilan demi tujuan pragmatik yang pantas dan berkesan. Perkara in selari dengan penggunaan SMS yang mahukan pesanan atau mesej yang disampaikan seringkas mungkin, tetapi mengekalkan maksud yang ingin sampaikan oleh pengirim.
 
Dalam erti kata mudahnya bahasa SMS ini lebih mementingkan isi pesanan yang ingin disampaikan oleh pengirim dan bukannya kesantunan serta nahu seperti mana di dalam bahasa bertulis. Memetik pandangan sarjana barat di dalam makalah Bahasa SMS Dinamis tulisan Supyan Husain. Henrik Hansson dan Syliva van de Bunt - Kokhuis dalam tulisan mereka “E-learning and Language Change: Observation, Tendencies and Refections” berpendapat bahawa terdapat dua faktor yang mempengaruhi perubahan sesuatu bahasa, iaitu keperluan untuk berkomunikasi secara cepat dan penyampaian lebih banyak maklumat pada setiap masa.
 
Pandangan ini amat bertepatan dengan kehendak pengguna SMS yang mahukan setiap pesanan yang dihantar penuh dengan maklumat dan cepat. Namun kita kembali kepada persoalan pokok, adakah bahasa SMS menjejaskan bahasa Melayu? Menurut Supyan Hussin di dalam blognya menyatakan bahawa bahasa SMS tidak boleh dinyatakan sebagai menjejaskan bahasa Melayu.
 
Beliau memberikan contoh setiap bahasa mempunyai kod terdiri daripada simbol seperti Kod Morse yang digunakan untuk telegraf, Kod Braille untuk mereka yang cacat penglihatan dan Kod trengkas yang digunakan oleh setiausaha dan terakhir sekali Kod military yang sering digunakan oleh tentera. Supyan Hussin juga menyatakan bahawa bahasa SMS juga mempunyai kod seperti mana kod-kod yang disebutkan di atas dan masyarakat tidak pernah mendakwa kod-kod berkenaan merosakkan nahu serta struktur bahasa Melayu. Hal ini disandarkan kepada beberapa sebab, pertamanya tidak ramai dalam kalangan kita tahu membaca kod berkenaan.
 
Kedua, kod berkenaan tidak digunakan dalam paparan umum seperti dalam media massa dan media elektronik. Ketiga, kod berkenaan hanya digunakan dalam konteks komunikasi yang terhad dan tujuan tertentu sahaja. Supyan Hussin menegaskan bahawa kod berkenaan tidak bersalahan dan tidak merosakkan bahasa baku, situasi yang sama juga jika dilihat kepada bahasa SMS.
 
Walaupun bahasa SMS ditulis dalam kod singkatan dan simbol yang digunakan bersifat peribadi dan bukan awam, maka bahasa SMS yang kelihatan bercampur aduk dengan bahasa Melayu dan Inggeris, salah nahunya tidak boleh dihukum sebagai salah atau merosakkan bahasa kebangsaan. Namun, perlu diingatkan kepada pengguna SMS, supaya menjadi pengguna yang bertanggungjawab terhadap nilai bahasa yang digunakan diyakini bahasa Melayu. Hal ini disebabkan pengguna SMS perlulah sedar supaya menggunakan bahasa SMS secara beretika dan dapat membezakan situasi formal dan tidak formal.
 
Perkara ini turut ditekan oleh Supyan Hussin seupaya kita tidak sewenang-wenangnya terbawa-bawa tabiat bahasa SMS ke dalam situasi formal seperti mana dalam urusan-urusan rasmi seperti surat-menyurat, minit mesyuarat, memo peringatan dan sebagainya. Ditambahkan lagi, pengguna SMS juga perlulah sebaik mungkin mengekalkan jati diri kebangsaan dengan menggunakan kod-kod yang tidak melampau batas seperti dier (dia),ialebiu (l love you), dan mndelete (memadam) (Supyan Hussin, 2011). Selain itu, apabila kita berkomunikasi secara formal dengan mana-mana pihak, maka perlulah kita menggunakan bahasa baku menuruti nahu dan ejaan yang betul dalam SMS kita supaya kita dapat membezakan hubungan formal dan hubungan sosial rakan taulan.
 
Bahasa SMS dalam jawapan peperiksaan
 
Tidak dinafikan bahasa SMS yang pada mula hanya digunakan sebagai medium peribadi untuk menyampaikan maklumat telah disalah gunakan oleh sebilangan besar pengguna SMS itu sendiri. Hal ini disebabkan sikap tidak keprihatinan kita terhadap bahasa dan tidak tahu membezakan situasi formal dan tidak formal menyebabkan fenomena ini sering berlaku. Contoh yang terdekat adalah menggunakan bahasa SMS semasa menjawab soalan peperiksaan peringkat menengah mahupun institusi pengajian tinggi.
 
Kebimbangan ini turut diluahkan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap penggunaan bahasa SMS dalam kalangan calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta peperiksaan peringkat universiti.
 
Fenomena ini turut mendapat perhatian Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Awang Sarian yang mana berpendapat situasi pelajar menjawab soalan peperiksaan menggunakan bahasa SMS adalah satu petanda bahaya penularan bahasa dalam kalangan masyarakat (Berita Harian 13/12/2012). Ditambahkan lagi, perkara yang sama turut dikongsi oleh Chong Seck Ching dalam tulisannya “All about Texting, SMS and MMS” yang mana meluahkan rasa kebimbangannya terhadap anak muda yang kini menjadi pakar dalam mencincang perkataan dan frasa sehingga menjejaskan pencapaian akademik mereka. Walaupun Kementerian Pelajaran Malaysia mengakui bahawa agak sukar untuk mengawal penggunaan bahasa SMS dalam kalangan pelajar ketika menjawab soalan peperiksaan, ia bukanlah alasan kepada kita untuk menghalalkan penggunaan bahasa SMS ini.
 
Justeru, bagi mengawal penggunaan bahasa SMS yang semakin meluar dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda, kerjasama semua pihak terutama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka adalah perlu, dalam merangka satu polisi, bagi memastikan tabiat bahasa SMS ini tidak menjejaskan kemurnian bahasa Melayu. Ditambahkan lagi, pengamal media juga terutama media cetak mahupun elektronik perlu diingatkan supaya SMS yang dihantar oleh penonton yang menggunakan singkatan tidak siarkan.
 
Hal ini, sebagai satu didikan sosial kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam menghantar mesej SMS terutama yang melibatkan urusan rasmi. Penglibatan semua pihak dalam menangani isu ini adalah sangat perlukan dan tidak dibebankan di bahu sesetengah pihak sahaja. Oleh yang demikian, dengan adanya komited semua pihak diharapkan bahasa Melayu terus dijulang sebagai bahasa ilmu yang merentasi zaman.

Rujukan:
Majalah
Jyh Wee Sen.2005.Komunikasi Kreatif SMS. Dewan Bahasa,Mei:36-41
Supyan Hussin.2005.Bahasa SMS Dinamik?.Dewan Bahasa,Mei:42-48
Ma’aroff Abd.Rahman.2005. Bahasa Baharu Teknologi Maklumat. Dewan Bahasa,Mei:50-52
 
Akhbar
Zamani Othman.(2012)Bahasa SMS tidak ancam bahasa Melayu asli. Utusan Malaysia, 30 Oktober
Trend bahasa ringkasan SMS pengaruhi pelajar membimbangkan. Utusan Malaysia, 21 Oktober 2012
M Jasni Majed.(2011) Bendung bahasa SMS dalam urusan rasmi. Harian Metro, 26 Jun
Sukar Kawal bahasa SMS. Berita Harian,13 Disember 2012
Nik Nur Zakia Abdullah.(2012) Jawab periksa guna bahasa SMS. Berita Harian, 13 Disember
Rujukan Elektronik
 
P.Ari Subagyo.2007. Ciri-ciri Kreatif Bahasa SMS.(atas talian) http:www.usd.ac.id/lembaga/lppm/f113/Jurnal
Sintesis/vol5no2oktober2007/10 Ari.pdf (10 Disember 2012)
Supyan Hussin.2011. Isu bahasa SMS kembali semula. (atas talian) suphussin.wordpress.com(10 Dismber 2012)
Sumber Jurnal
Tay Meng Guat.(2011). Analisis Linguistik Terhadap Penggunaan Bahasa SMS Dalam Kalangan Guru Pelatih. Jurnal Penyelidikan IPG Kampus Batu Lintang , Jilid 10
Lampiran
Perkataan SMS
Maksud
Perkataan SMS
Maksud
Perkataan SMS
Maksud
ahd
ahad
gmbar,gmbr
gambar
skolah
sekolah
akum
assalamualaikum
isn
isnin
slamber
selamba
amek
ambil
je,jer
sahaja
slipar
selipar
ari
hari
jgn
jangan
slmt
selamat
bdk
budak
jgak,gak
juga
smpi
sampai
bg
bagi
jln
jalan
smyang
sembahyang
bgn
bangun
jmpa
jumpa
sorang
seorang
blk
bilik
jom
mari
spt
seperti
badar
bandar
jum
Jumaat
ko
kau
bngga
bangga
kabo
Khabar
kompt
komputer
brknlan
berkenalan
kahwin
Kahwin
korang
kamu
cam
macam
keje
Kerja
kpd
kepada
clik
balik
kham
khamis
kreta
kereta
 

Khamis, 18 Julai 2013

Martabat bahasa kebangsaan tanggungjawab semua

ISU memartabatkan bahasa kebangsaan tidak pernah selesai meskipun Malaysia sudah merdeka 47 tahun dan dibangkitkan sekali lagi pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta Bil 1/2004.

Kebetulan mesyuarat berlangsung di Bilik Manhattan III, Berjaya Times Square, Jalan Bukit Bintang, mercu tanda terbaru segi tiga emas di Kuala Lumpur dan sejak sebelum mesyuarat berlangsung, sudah diduga penamaan premis itu pasti mendapat perhatian.

Andaian itu menjadi kenyataan apabila wakil Majlis Kebangsaan Kuala Lumpur, Datuk Jins Shamsudin, membangkitkan isu itu ketika pembentangan Dokumen C, Laporan Perkara Berbangkit dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta Bil. 1/2003 17 Disember 2003.

Penamaan bangunan ini memberi gambaran seolah-olah kita berada di Amerika Syarikat.  Berjaya membawa makna yang baik tetapi mengapa digabungkan dengan Times Square? Mengapa tidak nama bangunan dan bilik menggunakan bahasa kebangsaan bagi mencerminkan budaya tempatan dan jati diri bangsa Malaysia.? katanya.

Jins mencadangkan agar nama bilik di hotel berkenaan dinamakan sebagai Berjaya 1, Berjaya 2 dan seumpamanya atau nama berdasarkan nama jalan iaitu Bukit Bintang, malahan berdasarkan mukim, Cheras.

Eksekutif Kanan Multimedia, Multimedia Development Corporation (MDC), Soufiah Endud, melihat penamaan jalan dan bangunan sebagai harta intelektual dan mencadangkan dibentuk badan, jawatankuasa, badan atau syarikat khusus bagi tujuan itu.

Mengapa tidak kita gunakan ini sebagai satu peluang membentuk syarikat dianggotai orang seni yang secara tidak langsung memberi nilai ekonomi kepada kelompok itu bagi membantu mereka yang memerlukan khidmat berkenaan,? katanya.

Wakil Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Lim Chia Fook, pasti menggembirakan Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selaku penganjur mesyuarat dan pejuang bahasa kebangsaan apabila dapat melihat kepentingan perkara itu.
Lim mencadangkan sektor swasta diberi dorongan dengan mendekatkan mereka agar dapat melihat nilai ekonomi dalam bahasa kebangsaan dalam usaha menggalakkan mereka menggunakannya.

Tindakan syarikat insurans dan perbankan yang menerbitkan makalah perbankan dan insurans dalam bahasa kebangsaan contoh terbaik menunjukkan mereka sudah sedar nilai ekonomi bahasa itu dalam usaha menarik pelanggan,? katanya.

Nampaknya ahli mesyuarat sedar antara sebab musabab mengapa bahasa kebangsaan tidak dapat dimartabatkan sepenuhnya berpunca daripada ketiadaan keseragaman dalam akta tertentu, kerjasama yang longgar dan lemahnya aspek penguatkuasaan.

Penolong Pengarah, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTC), Ibrahim Saddiqi Talib, mencadangkan DBP menyediakan Kertas Kabinet untuk dikemukakan kepada Parlimen dalam menangani isu memartabatkan bahasa kebangsaan.

?Saya yakin cara ini dapat menyelesaikan perkara berbangkit dalam hal memartabatkan bahasa kebangsaan di sektor swasta dan tidak timbul lagi isu masing-masing  cuba berlepas tangan setiap kali isu ini berbangkit,? katanya.

Sungguhpun demikian, DBP selaku badan yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan di negara ini sejak 1956, yakin pendekatan memujuk jauh lebih berkesan berbanding paksaan.

Nada ini dapat dikesan daripada kenyataan Ketua Pengarah DBP, Datuk A. Aziz Deraman, yang mempengerusikan mesyuarat terbabit bahawa tugas memartabatkan bahasa kebangsaan berjalan lancar sekiranya setiap warganegara mementingkan maruah bangsa.

Kita tidak boleh mempersoalkan kedudukan bahasa kebangsaan di negara ini dan perlu memikirkan pendekatan terbaik untuk mendorong sektor swasta memahami pentingnya mendaulatkannya tanpa mengenakan paksaan,? katanya.

Aziz memberi contoh bank perdagangan dalam negeri dan luar negara di Malaysia yang sudah mula menggunakan bahasa kebangsaan dan meletakkannya pada kedudukan paling atas berbanding bahasa lain pada makalah berhubung perkhidmatan mereka.

Usaha DBP memartabatkan bahasa kebangsaan akan berjalan lancar sekiranya mendapat kerjasama erat daripada semua pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (KKKW), katanya.

Beliau yang bersetuju dengan teguran Jins berhubung penamaan nama hotel dan jalan berharap KKKW memberi perhatian kepada penamaan hotel bajet terutamanya bagi mengelakkan daripada timbulnya isu kurang manis akibat daripada kesilapan dalam pemberian nama.
?Kita perlu segera keluar daripada kepompong kita yang menganggap hanya bahasa Inggeris yang difahami ramai kerana kedudukannya sebagai bahasa Inggeris yang difahami ramai kerana kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara perlu dihormati dan tiada larangan penggunaan bahasa lain selagi bahasa kebangsaan diletakkan pada kedudukannya,? katanya.

Beliau turut mengemukakan contoh penamaan jalan dan kemudahan awam termasuk di lapangan terbang di Brunei Darussalam yang menggunakan tulisan jawi pada nama jalan dan premis negara itu termasuk di lapangan terbang.

Semua sektor di negara itu menjadikan DBP Brunei sebagai tempat rujukan mereka dan kerana itu tidak menghairankan apabila tulisan jawi dapat digunakan sepenuhnya meskipun tidak ramai rakyat Brunei yang boleh membaca aksara itu,? katanya.

Di samping teguran dan cadangan berhubung penamaan jalan dan bangunan menggunakan bahasa kebangsaan, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan agar diadakan Kongres Bahasa Kebangsaan (KBK) bagi membolehkan cadangan dihimpunkan dan dikemukakan kepada kerajaan.

Mesyuarat juga bersetuju agar Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta yang diatur DBP di bawah program Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta 2001-2005 diberi kependekan Jaksa.

(Sumber : Berita Harian   (13/04/2004) )

Isnin, 17 Jun 2013

Karangan B : Isu Cetak Rompak


87
                       SOALAN NO 3 : SOALAN PEPERIKSAAN SEMESTER PERTAMA 2013.


 

Soalan :

Ada orang berpendapat bahawa kegiatan cetak rompak sukar dibendung kerana lemahnya penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berwajib.

Bincangkan.

         Beberapa tahun kebelakangan ini, masalah cetak rompak menjadi semakin serius dan gawat melanda di negara kita . Masalah ini seperti duri dalam daging . Kegiatan cetak rompak merupakan kegiatan menciplak , menjual dan mengedar karya atau barangan untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda . Kegiatan penjualan cakera padat (CD ) , cakera video digital (DVD ) , cakera padat video ( VCD ) dan perisian cetak rompak tiruan sememangnya amat sukar untuk dibendung oleh pihak berkuasa dari dulu sampailah sekarang . Walaupun, pelbagai tangkapan dibuat serta dikenakan tindakan mahkamah , namun aktiviti tersebut tetap muncul di sana sini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan . Kerenah ini sememangnya memberi tamparan yang cukut hebat kepada banyak pihak khususnya Kerajaan Malaysia kerana mereka terpaksa memerah otak dan menggembleng sehabis kudrat mereka untuk menampal semula kecacatan peneraju Negara kita yang seyogianya menjadi pemangkin dan ceracuk fundamental bagi mengangkat martabat Malaysia ke arena yang lebih tinggi lagi. Dengan itu , jika kerenah ini tidak dibendung secepat mungkin, sudah tentu akan membawa kepada perkara yang lebih serius . Persoalannya , apakah punca yang menyebabkan wujudnya kegiatan cetak rompak di negara kita yang sedang mengorak langkah ke arah kemajuan dan pemodenan?

                 Secara realitinya, kita memang tidak boleh dinafikan bahawa kegiatan cetak rompak adalah berpunca daripada kelonggaran dari segi penguatkuasaan undang-undang yang kian membarah dewasa ini . Walaupun pentadbiran bagi akta reka cipta dan bentuk masih ada kelemahannya . Akta hak intelek juga tidak dapat dikuatkuasakan sepenuhnya untuk menangani kerenah yang semakin menjadi-jadi ini. Selain itu , walaupun hukuman dijalankan seperti biasa tetapi hukuman ini tidak menakutkan pengusaha haram ini kerana bentuk hukuman yang dijatuhkan adalah ringan . Kadangkala serbuan jarang dijalankan kerana kekurangan kakitangan untuk membantu membanteras kes ini dan perbicaraan di mahkamah pula lazimnya mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan. Malah ‘keberanian’ peniaga terbabit yang seolah-olah tidak mempedulikan undang-undang itu tentu sekali mengundang pertanyaan dalam kalangan orang ramai terutama para pengunjung kompleks beli-belah berkenaan . Sebagai contoh yang terbaik , syarikat yang terbabit mencetak dan mengedar cakera padat video dan DVD haram hanya akan dikenakan denda maksimum RM 250 000 berbanding dengan keuntungan mereka yang bernilai berjuta-juta ringgit . Dengan hal yang demikian , hukuman yang terlalu ringan adalah faktor utama kegiatan menjual produk haram ini masih berleluasa .

Tidak ketinggalan juga sesuatu akibat yang tidak boleh dikesampingkan apabila sifat tamak haloba pengusaha haram bermaharajalela di setiap ruang sanubari.  Menurut pengusaha haram, kegiatan penjualan cetak rompak memang mendatangkan keuntungan yang berlipat ganda kepada mereka. Mereka tidak peduli kedaulatan undang-undang serta memikirkan keuntungan semata-mata aktiviti penjualan cakera dan pengisian tiruan itu memang menjadi profesion mereka . Tambahan pula , pengusaha haram ini juga menikmati ihsan barang tulennya dari segi publisiti dan iklan . Mereka juga tidak perlu membayar royalti kepada pihak pereka atau pencipta asal. Mereka hanya menghayati keuntungan yang besar walaupun mutu dan pretij barang sebenarnya sudah diketuai umum . Sebaga contoh , kegiatan tersebut bukan sahaja dijalankan di pasar malam atau di kaki lima malah ada yang semakin berani untuk menjualnya secara terbuka di premis perniagaan dan kompleks beli-belah demi mendapat keuntungan yang banyak .Seorang Ahli Falsafah yang bernama Lootze pernah mengatakan bahawa manusia yang tamak haloba dan mengejar kemewahan dunia hanya akan mendorong mereka ke arah kebinasaan . Jelaslah bahawa kerenah ini berlaku kerana masyarakat moden yang bersifat hedonism ini .

           Seterusnya , kegiatan cetakan rompak ini berlaku akibat daripada lokasi penjualan CD berada di merata-rata tempat. Hal ini demikian, terdapat beberapa penjenayah cetak rompak ini yang tidak mengambil peduli akan kesan daripada tindakan yang mereka lakukan  terutama sekali apabila mereka mengambil kesempatan menjual CD yang dicetak di kawasan terbuka atau kompleks membeli-belah diadakan tanpa ada rasa takut ataupun bersalah. Bahkan, mereka tidak menunjukkan sesiapa pun mereka atau identiti mereka disembunyikan semasa mempromosikan CD tersebut hingga menyebabkan pelanggan mudah terpedaya dan tertarik akan bahan-bahan cetakan yang ditawarkan padahal semua yang dipromosikan itu cuma palsu semata-mata. Tambahan lagi, penjenayah cetak rompak yang nafsi lebih mementingkan lokasi yang berada berdekatan dengan orang ramai kerana pendapatan mereka lebih terjamin dan lumayan berbanding mementingkan kualiti yang mereka berikan. Sebagai contohnya, lokasi yang terletak di kawasan terbuka seperti pasar malam, kedai-kedai kecil dan banyak lagi lokasi yang mereka suka untuk berjual bahan cetakan. Tuntasnya, bahan cetakan bukan sahaja diedar secara tersendiri atau secara tersembunyi tetapi terdapat di lokasi-lokasi yang juga menjadi pusat tumpuan kepada pencetak cakera terutama pada kawasan terbuka.

          Rentetan itu, sikap masyarakat yang lebih suka membeli cakera padat cetak rompak ini menjadi batu loncatan kepada permasalahan ini menjadi semakin teruk. .Memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa masyarakat lebih gemar membeli cakera padat cetak rompak kerana harganya yang murah berbanding dengan cakera padat yang tulen serta harganya yang berpatutan dan mempunyai jaminan dari kualiti barangan . Masyarakat merasakan cakera padat yang tulen hanya merugikan mereka sedangkan cakera padat cetak rompak mempunyai pelbagai wayang dalam satu CD serta harganya yang murah . Kita juga boleh lihat kebanyakan masyarakat lebih tertumpu di kedai-kedai yang menjual cakera padat cetak rompak dan pembeli cakera padat tersebut berbanding yang tulen seperti ada semut ada gula. Penjual cakera padat yang turut menguar-uarkan kelebihan penjualan mereka membuatkan lagi hati pembeli tertarik untuk membeli cakera pada tersebut. Masyarat juga lebih terpengaruh dengan cerita yang bukan nyata. Sebagai contohnya , wayang yang mempunyai unsur keajaiban , kekuasaan , keganasan dan unsur-unsur yang lain sehingga memudahkan masyarakat cepat terpengaruh terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang masih setahun jagung .Walhal itu semua hanyalah cakap manis sahaja bak kata pepatah orang melayu  ‘indah khabar dari rupa’ . Pembeli tersebut mudah terpengaruh dengan kata-kata manis penjual tersebut manakala mereka juga yang rugi .

         Dalam menitis arus modenisasi yang kian rancak, alatan berteknologi canggih membolehkan barang tiruan dihasilkan. Melalui alatan yang canggih inilah yang menyebabkankan barang cetak rompak dan tiruan sukar dibezakan daripada barang asal. Maka, alat perakam yang canggih juga meningkatkan produktiviti cetak rompak. Lebih teruk lagi, teknologi kini juga membolehkan bukti cetak rompak dimusnahkan dengan mudah . Apabila alatan yang berteknologi dicipta, segelintir pengusaha tidak mengguna otak mereka berfikir sebelum mereka bertindak untuk mencetak cakera padat . Dalam otak mereka hanya mengutamakan keuntungan yang diperoleh dengan mencetak cakera padat . Terdapat juga pengusaha haram yang ketagih dengan mengejar fatamorgana dan kemewahan dunia sehingga sanggup membeli alatan moden yang khas untuk mencetak cakera padat. Pengusaha haram nan mengguna alatan yang canggih akan mendapat keuntungan dalam sekelip mata sahaja seperti Aladdin menggosok lampu ajaibnya. Menurut  statistik  yang  keluarkan  oleh Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri , Koperasi dan Kepenggunaan , sebanyak 1942 kes cetak rompak telah dilaporkan pada tahun 2008 dan 368 mesin cetak telah dirampas . Tegasnya , kegiatan cetak rompak ini wujud kerana kemunculan alatan yang berteknologi .

          Akhirulkalam, sudah terang lagi bersuluh bahawa kegiatan cetak rompak di negara bukan perkara yang remeh . Benarlah kata Ahli Psikologi Barat , tiada masalah yang tiada jalan penyelesaiannya tetapi jika kita hidup tanpa dibelenggu masalah adalah kosong dan uslab serta minhaj yang komprehensif telah bersedia untuk kita bersama memerangi kudis yang semakin bernanah. Namun demikian , kita tidak boleh mengharapkan satu pihak sahaja iaitu pihak kerajaan malah masyarakat perlu saling bahu – membahu untuk memegang obor hemah memerangi wabak cetak rompak sehingga ke akar umbi . Kita janganlah hanya pandai berpeluk tubuh dan menanti lampu ajaib Aladdin jatuh daripada langit . Masyarakat pula tidak sewajarnya membeli produk yang haram walaupun harganya rendah kerana perbuatan ini hanya akan menyebabkan kegiatan cetak rompak semakin berleluasa. Oleh hal yang demikian, saya berharap agar semua pihak menyedari bahawa masalah cetak rompak ini akan terus melanda negara kita sekiranya tidak terus ditangani dari akar umbi . Jadikanlah industri muzik kita sebagai industri yang ‘bersih’ daripada kerenah cetak rompak dan biarlah Wawasan 2020 yang diwara-warakan oleh mantan Perdana Menteri Keempat menjadi realiti bukannya fantasi .

(Jumlah 1299 patah kata)

 

DISEDIAKAN OLEH :

- CHRISTOVERY

- RICHQUE

- EVA

- VENICCA

- AZYNI