Bilangan tidak sama dengan mutu. Atau, dalam bahasa hari ini, kuantiti tidak sama dengan kualiti. Maaf cakaplah kalau penulis berpendapat, semakin hari semakin susah hendak mencari penutur dan penulis bahasa Melayu yang baik dan bergaya.
Tambahan lagi apabila ada orang yang pandai berbahasa, berpuisi dan berpantun seloka telah mogok karya. Penulis tidak tahu macam mana orang kreatif boleh mogok karya.
Ilham datang tanpa kita jemput dan kalau kita tidak manfaatkan - fasal kita sedang mogok seni, ilham akan pergi dan boleh jadi tak balik lagi.
Kurangnya istilah
Tetapi itu hak masing-masing. Hendak berkarya boleh, tidak hendak pun tidak apa. Tidak ada sesiapa memaksa. Cuma yang rugi adalah peminat bahasa dan sastera yang dahaga akan karya besar daripada karyawan tersohor. Apabila menulis dalam bahasa Melayu ialah kurangnya istilah dalam banyak bidang bukan sahaja dalam bidang sains dan teknologi sebagai mana sering diperkatakan oleh orang ramai .
Pada awal pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan pada tahun 1960-an, penulis rasa ada kemajuan. Rasa-rasa penulis, pada masa itu pejuang bahasa betul-betul berjuang untuk bahasa. Kita pun tunjuk hormat kepada Bahasa Kebangsaan kita.
Belum seiring kemajuan
Hari ini banyak orang sudah lupa atau tidak tahu yang sebahagian besar pejuang bahasa Melayu waktu itu adalah orang Melayu berpelajaran Inggeris. Mereka benar-benar menguasai dwibahasa dan mereka mahu bahasa Melayu hebat seperti bahasa Inggeris.
Tapi nampaknya belakangan ini, kemajuan bahasa Melayu, terutama dalam aspek pengistilahan, penggunaan rasmi dan oleh pihak swasta semakin lemah dan diabaikan.
Minta maaflah kalau penulis kata, boleh dikatakan dalam semua bidang ilmu, bahasa Melayu nampaknya tidak berjaya atau belum berjaya bergerak seiringan dengan kemajuan, bukan dalam bidang sains dan teknologi saja.
Baru-baru ini penulis mencari istilah ‘cult’ sebab penulis nampak ada unsur ‘cult’ dan ‘cult worship’ dalam gelanggang politik kita. Ada pembesar politik yang tidak boleh disentuh. Ada yang buat apa pun boleh dan ada yang dianggap macam malaikat.
Dalam bahasa Inggeris, ‘cult’ merujuk kepada agama atau mazhab dalam sesuatu agama yang dianggap melampau atau sesat. Gaya hidup pengikut ‘cult’ bercanggah dengan kebiasaan dan mereka taat membuta tuli kepada seorang ketua kuku besi, tetapi berkarisma.
Cari jalan mudah
Apa yang penulis temui dalam carian di Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka ialah istilah ‘kultus’ yang Kunta Kinte syak adalah terjemahan literal ‘cult’ ke bahasa Indonesia.
Indonesia terkenal dengan menterjemah literal istilah bahasa Inggeris dengan membunyikannya mengikut sebutan tempatan. Misalnya ‘debate’ (bahas) menjadi debat, ‘parking’ (tempat letak kenderaan) menjadi parkir, ‘cashier’ (juruwang) menjadi kasir, ‘order’ (peraturan) menjadi orde dan idea (buah fikiran) menjadi ide. Maka jadilah ‘cult’ kultus.
Selain kurang ilmu dan kurang penguasaan pelbagai bahasa, penulis rasa banyak orang yang diberikan tugas dan tanggungjawab mencipta dan mencari istilah baru curi tulang. Mereka mencari jalan mudah. Ambil sahaja istilah bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa, menukar ejaan dan di mana-mana yang perlu, hanya perlu menukar sedikit sebutan.
Penulis bimbang dari sudut istilah, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa Inggeris dan dari aspek sebutan pula sudah berbunyi seperti bahasa Indonesia.
0 Komen:
Catat Ulasan