Pages

Labels

Isnin, 22 April 2013

Program' BACALAH'

Tahniah kepada Panitia BM KV Keningau kerana berjaya melaksanakan program "Bacalah" bermula April tahun ini. Program ini penting untuk pelajar tingkatan 5 yang akan menghadapi peperiksaan SPM 2013 menghafal dan memahami semua tajuk dan topik mata pelajaran BM..Selamat membaca anak-anak sekalian..!! :)

Pembelajaran boleh berlaku di mana-mana sahaja..

Guru Math pun melibatkan diri. Tq Kak Erna.. :)

Sabtu, 13 April 2013

 

RAGAM AYAT


Ragam ayat terdiri daripada ayat aktif dan pasif.

 

Ayat aktif

Ayat aktif mengandungi kata kerja aktif yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Ayat aktif terdiri daripada ayat aktif transitif dan ayat aktif tak transitif.

Ayat aktif transitif mengandungi kata kerja transitif yang perlu diikuti oleh frasa nama atau klausa komplemen sebagai objek atau unsur penyambutnya. Kata kerja transitif mempunyai dua bentuk : yang pertama tidak menerima imbuhan ( seperti makan, minum) dan yang kedua menerima imbuhan ‘men-‘ ( seperti memanggil, melanda)

Contoh :
-          frasa nama sebagai objek:
Guru disiplin memanggil pelajar itu.
Banjir kilat melanda Kuala Lumpur.

-          ayat komplemen sebagai objek:
Pengawas memberitahu bahawa pelajar itu sudah pulang.
Pengetua mengumumkan bahawa kawasan sekolah perlu dibersihkan setiap hari.


Ayat Pasif

Ayat pasif ialah ayat yang dibina dengan mengutamakan objek asal sebagai pokok atau bahagian yang diterangkan. Ayat ini mempunyai kata kerja yang ditandai oleh penanda pasif seperti imbuhan ‘di-‘, ‘ter-‘, ‘ber-‘ serta ‘ke-‘dan ‘-an’.
Contoh :
Kain itu belum berlipat
Penjenayah itu ditangkap oleh polis.
-          bagi ayat pasif yang berkata kerja pasif ‘di-‘, kata sendi ‘oleh’ dan frasa nama yang berkedudukan selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa merosakkan makna struktur ayat
Contoh : Penjenayah itu ditangkap polis malam tadi.
Namun jika binaan ‘oleh’ dan frasa nama itu terletak jauh daripada kata kerja, maka ‘oleh’ tidak boleh digugurkan.

Bagi ayat pasif dengan kata ganti diri orang pertama dan kedua, jenis kata ganti nama diri diletakkan di hadapan kata kerja dasar. Ini kerana kata ganti nama diri pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja dengan imbuhan pasif ‘di-‘.
Contoh : Buku itu jangan sekali-kali kau baca lagi.

Ayat pasif dengan kata bantu pasif ‘kena’ pula mempunyai perkataan ‘kena’ di hadapan kata kerja dasar yang tidak menerima awalan. 
Contoh : Pengedar dadah itu kena tangkap.

Jumaat, 12 April 2013

Ceramah Pencegahan Kebakaran

Ceramah pencegahan kebakaran petang ini menggantikan perjumpaan Persatuan BM. Selepas ini, pelajar boleh menulis karangan berkaitan dengan langkah mencegah kebakaran dan menjaga keselamatan.
Demonstrasi memadam kebakaran dari Jabatan Bomba Keningau

SEDIKIT PETUA UNTUK MENYELAMATKAN DIRI DARIPADA KEBAKARAN : Api itu, tatkala kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Api memang tidak mengenal darjat penghuni dan rumah kediaman mereka. Apabila berlaku kebakaran, langkah yang paling penting ialah mencari jalan keluar. Oleh itu anda mestilah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua jalan keluar di rumah anda untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran. BINCANGKAN PELAN MEYELAMATKAN DIRI DENGAN KELUARGA : Anda harus mengadakan perbincangan dengan keluarga anda mengenai pelan menyelamatkan diri daripada kebakaran di rumah. Pastikan seluruh keluarga anda memahami dan mengetahui apa yang perlu dibuat jika berlaku kebakaran. Adakan latihan amali pada hujung minggu atau bila ada masa lapang supaya ia sentiasa dalam ingatan ahli keluarga anda. CUBA ELAKKAN PENGGUNAAN JERIJI :  Cuba elakkan penggunaan jeriji besi pada tingkap dan pintu rumah anda. Jika anda terpaksa menggunakannya, pastikan jeriji tersebut boleh dibuka dari dalam rumah dengan mudah. JALAN KELUAR TIDAK DIHALANG : Pastikan semua jalan keluar di rumah anda mudah dilalui dan bebas daripada sebarang halangan. ANAK KUNCI MUDAH DIAMBIL : Setiap ahli keluarga mestilah tahu di mana anak kunci pintu atau jeriji biasanya disimpan. Jangan mengubah tempat menyimpan anak kunci. MEMASANG ALAT PENGESAN ASAP : Pastikan anda memasang sekurang-kurangnya satu pengesan asap di rumah untuk memberi isyarat bermulanya kebakaran. Senangkan? Semoga bermanfaat..

Ceramah Teknik Mahir Mengarang BM SPM 2013

Esok, seramai 30 orang pelajar cemerlang BM Kolej Vokasional Keningau & 7 orang guru akan menghadiri "Ceramah Teknik Mengarang BM SPM 2013" di Kota Kinabalu atas jemputan SM. St. Michael Penampang. Ceramah ini akan disampaikan oleh Tuan Haji Isyak Md. Shah ( Guru BM, Penulis buku berpengalaman & Penceramah ). Kami akan bertolak seawal pukul 5.30 pagi kerana ceramah tersebut bermula pada pukul 8.00 pagi. Selain ceramah, semua pelajar tersebut juga akan dibawa melawat Muzium Sabah sebagai aktiviti Persatuan BM. Semoga program ini melahirkan peserta yang mahir mengarang BM di samping dapat membantu mereka menulis sebuah karangan keperihalan bertajuk " Pengalamanku " ..

Penceramah kami adalah seorang yang hebat. Beliau ialah Tn.Hj Ishak Md Shah iaitu guru BM yang berpengalaman luas dlm mengendalikan ceramah dan bengkel mengarang peringkat SPM , beliau telah mengendalikan lebih 500 siri ceramah teknik mengarang untuk pelajar dan guru di seluruh negara , Panel tetap dengan SASBADI Sdn Bhd dlm terbitan buku-buku siri NEXUS, VISTA, XPRESS PRO , TARGET, BRAVO, BOOSTER, JUARA dan sampel jawapan SPM 2005-2011. Buku-buku ini turut digunakan oleh pelajar-pelajar KV Keningau sebagai buku kerja selama ini. Satu pengalaman menarik bertemu dengan beliau sendiri dan sempat lagi bersembang di kantin sekolah.  Beliau turut menghasilkan 13 modul pembelajaran kendiri sejak 1997.  Blog beliau ialah http://ishakmdshah.blogspot.com . Beliau bertugas di SM Teknik Alor Setar, Kedah.

Tn.Hj Ishak Md Shah

 Tekun mendengar ceramah
Peserta yang hadir
Sempat lagi..hehe :)

Khamis, 28 Mac 2013

Cintaku kepadamu, Bahasa Melayuku

Bahasaku itu indah rupanya
namun, kadangkala tajamnya ibarat pedang
menghiris dan membunuh perasaan

jika ujaran di luar kehalusan budi bahasa
jika tindakan di luar adab santun Melayu
pasti bahasa membunuh jati diri bangsa.

Justeru, saat indah bahasaku kian luntur
cintaku kepadamu Bahasa Melayuku
tak akan terhakis oleh rempuhan globalisasi
kerana aku adalah wasilahmu
lambang kekuatan warisan zaman."

Ahad, 10 Mac 2013

Mari Berpantun

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi darjat kerana bahasa


Anak merak Kampung Cina
Singgah berhenti kepala titi
Emas perak kebesaran dunia
Budi bahasa tak dapat dicari


Anak angsa mati lemas
Mati lemas di air masin
Hilang bahasa kerana emas
Hilang budi kerana miskin


Yang kurik tu kundi
Yang merah saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa


Cuaca gelap semakin redup
Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup
Barulah kekal dihormati orang


Lebat daun bunga tanjung
Berbau harum bunga cempaka
Adat dijaga pusaka dijunjung
Baru terpelihara adat pesaka


Manis sungguh gula Melaka
Jangan dibancuh dibuat serbat
Sungguh teguh adat pusaka
Biar mati anak jangan mati adat


Anak teruna tiba di darat
Dari Makasar langsung ke Deli
Hidup di dunia biar beradat
Bahasa tidak dijual beli


Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di rumpun buluh
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah menyusun jari sepuluh

Selasa, 26 Februari 2013

ISU BAHASA : Bahasa Melayu semakin tidak lengkap?

Bilangan tidak sama dengan mutu. Atau, dalam bahasa hari ini, kuantiti tidak sama dengan kualiti. Maaf cakaplah kalau  penulis berpendapat, semakin hari semakin susah hendak mencari penutur dan penulis bahasa Melayu yang baik dan bergaya.

Tambahan lagi apabila ada orang yang pandai berbahasa, berpuisi dan berpantun seloka telah mogok karya. Penulis   tidak tahu macam mana orang kreatif boleh mogok karya.

Ilham datang tanpa kita jemput dan kalau kita tidak manfaatkan - fasal kita sedang mogok seni, ilham akan pergi dan boleh jadi tak balik lagi.

Kurangnya istilah
 
Tetapi itu hak masing-masing.  Hendak berkarya boleh, tidak hendak pun tidak apa. Tidak ada  sesiapa memaksa. Cuma yang rugi adalah peminat bahasa dan sastera yang dahaga akan karya besar daripada karyawan tersohor. Apabila menulis dalam bahasa Melayu ialah kurangnya istilah dalam banyak bidang bukan sahaja dalam bidang sains dan teknologi sebagai mana sering diperkatakan oleh orang ramai .

Pada awal pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan pada tahun 1960-an, penulis  rasa ada kemajuan. Rasa-rasa penulis, pada masa itu pejuang bahasa betul-betul berjuang untuk bahasa. Kita pun tunjuk hormat kepada Bahasa Kebangsaan kita.

Belum seiring kemajuan
 
Hari ini banyak orang sudah lupa atau tidak tahu yang sebahagian besar pejuang bahasa Melayu waktu itu adalah orang Melayu berpelajaran Inggeris. Mereka benar-benar menguasai  dwibahasa dan mereka mahu bahasa Melayu hebat seperti  bahasa Inggeris.

Tapi nampaknya belakangan ini, kemajuan bahasa Melayu, terutama dalam aspek pengistilahan, penggunaan rasmi dan oleh pihak  swasta semakin lemah dan diabaikan.

Minta maaflah kalau penulis kata, boleh dikatakan dalam semua bidang ilmu, bahasa Melayu nampaknya tidak berjaya atau belum berjaya bergerak seiringan dengan kemajuan, bukan dalam bidang sains dan teknologi saja.

Baru-baru ini penulis  mencari istilah ‘cult’ sebab penulis  nampak ada unsur ‘cult’ dan ‘cult worship’ dalam gelanggang politik kita. Ada pembesar politik yang tidak boleh disentuh. Ada yang buat apa pun boleh dan ada yang dianggap macam malaikat.

Dalam bahasa Inggeris, ‘cult’ merujuk kepada agama atau mazhab dalam sesuatu agama yang dianggap melampau atau sesat. Gaya hidup pengikut ‘cult’ bercanggah dengan kebiasaan dan mereka taat membuta tuli kepada seorang ketua kuku besi, tetapi berkarisma.

Cari jalan mudah

Apa yang penulis  temui  dalam carian di Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka ialah istilah ‘kultus’ yang Kunta Kinte syak adalah terjemahan literal ‘cult’ ke bahasa Indonesia.

Indonesia terkenal dengan menterjemah literal istilah bahasa Inggeris dengan membunyikannya mengikut sebutan tempatan. Misalnya ‘debate’ (bahas) menjadi debat, ‘parking’ (tempat letak kenderaan) menjadi parkir, ‘cashier’ (juruwang) menjadi kasir, ‘order’ (peraturan) menjadi orde dan idea (buah fikiran) menjadi ide. Maka jadilah ‘cult’ kultus.

Selain kurang ilmu dan kurang penguasaan pelbagai bahasa, penulis  rasa banyak orang yang diberikan tugas dan tanggungjawab mencipta dan mencari istilah baru curi tulang. Mereka mencari jalan mudah. Ambil sahaja istilah bahasa Inggeris atau mana-mana bahasa, menukar ejaan dan di mana-mana yang  perlu, hanya perlu menukar sedikit sebutan.

Penulis bimbang dari sudut istilah, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa Inggeris dan dari  aspek sebutan pula sudah berbunyi seperti  bahasa Indonesia.