Pages

Labels

Sabtu, 13 April 2013

 

RAGAM AYAT


Ragam ayat terdiri daripada ayat aktif dan pasif.

 

Ayat aktif

Ayat aktif mengandungi kata kerja aktif yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Ayat aktif terdiri daripada ayat aktif transitif dan ayat aktif tak transitif.

Ayat aktif transitif mengandungi kata kerja transitif yang perlu diikuti oleh frasa nama atau klausa komplemen sebagai objek atau unsur penyambutnya. Kata kerja transitif mempunyai dua bentuk : yang pertama tidak menerima imbuhan ( seperti makan, minum) dan yang kedua menerima imbuhan ‘men-‘ ( seperti memanggil, melanda)

Contoh :
-          frasa nama sebagai objek:
Guru disiplin memanggil pelajar itu.
Banjir kilat melanda Kuala Lumpur.

-          ayat komplemen sebagai objek:
Pengawas memberitahu bahawa pelajar itu sudah pulang.
Pengetua mengumumkan bahawa kawasan sekolah perlu dibersihkan setiap hari.


Ayat Pasif

Ayat pasif ialah ayat yang dibina dengan mengutamakan objek asal sebagai pokok atau bahagian yang diterangkan. Ayat ini mempunyai kata kerja yang ditandai oleh penanda pasif seperti imbuhan ‘di-‘, ‘ter-‘, ‘ber-‘ serta ‘ke-‘dan ‘-an’.
Contoh :
Kain itu belum berlipat
Penjenayah itu ditangkap oleh polis.
-          bagi ayat pasif yang berkata kerja pasif ‘di-‘, kata sendi ‘oleh’ dan frasa nama yang berkedudukan selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa merosakkan makna struktur ayat
Contoh : Penjenayah itu ditangkap polis malam tadi.
Namun jika binaan ‘oleh’ dan frasa nama itu terletak jauh daripada kata kerja, maka ‘oleh’ tidak boleh digugurkan.

Bagi ayat pasif dengan kata ganti diri orang pertama dan kedua, jenis kata ganti nama diri diletakkan di hadapan kata kerja dasar. Ini kerana kata ganti nama diri pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja dengan imbuhan pasif ‘di-‘.
Contoh : Buku itu jangan sekali-kali kau baca lagi.

Ayat pasif dengan kata bantu pasif ‘kena’ pula mempunyai perkataan ‘kena’ di hadapan kata kerja dasar yang tidak menerima awalan. 
Contoh : Pengedar dadah itu kena tangkap.

0 Komen:

Catat Ulasan