Pages

Labels

Rabu, 22 Mei 2013

Karangan B : Jasa dan Pengorbanan Ibubapa


Ibu bapa merupakan dua insan yang banyak berjasa bagi memastikan kejayaan anak-anak dalam kehidupan. Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh anak-anak untuk membalas jasa ibu bapa mereka.
 
Kisah Si Tanggang yang semakin mewarnai berita tempatan jelas menunjukkan rapuhnya ikatan kekeluargaan pada zaman ini. Contohnya, kisah seorang ibu disembelih oleh anak kerana enggan memberikan wang sebanyak RM10 memberikan tamparan hebat kepada masyarakat betapa anak-anak zaman ini semakin luntur nilai kemanusiaannya. Keadaan ini tidak boleh dipandang enteng dan anak-anak perlu disedarkan betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa terhadap mereka sejak kecil. Walaupun pengorbanan itu dilakukan tanpa mengharapkan balasan, namun sebagai anak kita wajar memberikan yang terbaik buat ibu bapa kita terutamanya ibu kerana syurga di bawah telapak kaki ibu.
 
Walau siapa pun kita, sama ada golongan korporat atau golongan marhain, perkara yang paling penting kita lakukan sebagai seorang anak dalam menzahirkan penghargaan terhadap ibu bapa kita adalah dengan menghormati mereka. Tutur kata yang sopan dan berhemah pasti membuatkan ibu bapa kita berasa bangga mempunyai anak-anak yang berbudi pekerti. Sekalipun kita tidak bersetuju dengan pandangan atau tindakan ibu bapa kita, kita perlu menanganinya dengan cara yang paling lembut. Apatah lagi terhadap ibu bapa yang semakin mudah terusik lantaran usia yang semakin meningkat. Jelas bahawa memberikan layanan kelas pertama merupakan langkah paling utama untuk menghargai ibu bapa.
 
Tidak dinafikan bahawa anak-anak pada zaman ini terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing. Namun, kita perlu mencuba sedaya mungkin untuk meluangkan masa bercuti bersama ibu bapa. Jika ibu bapa tinggal di kampung, luangkanlah masa hujung minggu di kampung. Secara tidak langsung, hubungan anak-anak kita akan lebih rapat dengan datuk dan nenek mereka. Kegembiraan pasti akan terpancar di wajah ibu bapa kita jika kita bertanya khabar secara bersemuka berbanding dengan hanya bercakap di telefon. Ibu bapa pasti akan rasa dihargai jika kita sanggup meluangkan masa bersama mereka walaupun dalam masa yang singkat.
 
Sejak muda, ibu bapa telah banyak berusaha untuk menyediakan segala keperluan kita. Ibu bapa yang bertanggungjawab sanggup melakukan apa saja asal kemahuan kita dipenuhi. Maka, setelah kita bekerjaya, hulurkanlah sebahagian daripada hasil titik peluh kita kepada ibu bapa. Wang yang kita hulurkan selalunya tidak dibelanjakan sepenuhnya oleh ibu bapa kerana perbelanjaan hidup yang semakin sederhana. Ibu bapa boleh menggunakan wang tersebut untuk bersedekah dan melakukan amal jariah. Bukan nilai yang diukur oleh ibu bapa kita tetapi jika itu kita lakukan setiap bulan, ibu bapa akan rasa bahagia kerana anak-anak mengenang jasa mereka.
 
Semakin berusia ibu bapa kita, semakin merosot kesihatan mereka. Justeru, jika ibu bapa kita diuji dengan penyakit, gunalah peluang yang ada untuk berbakti dengan menjaga mereka. Mungkin itulah bakti terakhir kita terhadap ibu bapa. Jagalah mereka dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan. Sebagaimana mereka sanggup bersengkang mata dalam sabar ketika kita sakit dulu, begitulah yang sepatutnya kita lakukan sekarang sebagai bukti kita juga menyayangi ibu bapa. Sediakanlah rawatan terbaik yang kita mampu untuk ibu bapa kita. Perhatian dan kasih sayang yang kita tunjukkan ketika mereka sakit pasti akan meredakan kesakitan yang ditanggung.
 
Ibu bapa tiada galang gantinya. Pengorbanan dan kasih sayang mereka sebenarnya tidak dapat dibayar kerana terlalu tinggi nilainya. Renungkanlah susah payah seorang ibu mengandung selama sembilan bulan dalam debaran menanti kelahiran seorang cahaya mata, kemudiannya mencurahkan sepenuh kasih sayang dan perhatian sehingga si anak boleh berdikari. Bayangkanlah betapa risaunya seorang ayah apabila tidak dapat menyediakan keperluan si anak sehingga sanggup menggunakan tenaga empat keratnya melebihi kudrat semata-mata demi anak. Maka, sebagai anak, hargailah ibu bapa sebelum nasi menjadi bubur

0 Komen:

Catat Ulasan