Pages

Labels

Rabu, 22 Mei 2013

Cerpen dan Drama Tingkatan 4

Ibu dan ceper

Sinopsis

Kisah ibu tua yang disamakan dengan kisah sebuah sungai iaitu Sungai Ceper. Sungai Ceper ialah sungai yang jernih dan mempunyai sumber ikan dan udang, panjang dan berliku-liku, samalah seperti ibu yang sentiasa aktif melakukan aktiviti bersawah. Pada waktu malam, Sungai Ceper masih cergas tetapi ibu tidak. Pada sebelah malam, ibu berehat dan esoknya kembali cergas.Pada suatu hari, Sungai Ceper melimpah kerana hujan turun di hulu. Airnya likat dan melimpah menyebabkan sawah padi musnah. Pada tahun itu, semua penduduk kampung makan ubi gadung kerana padi musnah. Selepas Ceper melimpahkan air, tiba pula musim kemarau. Sungai Ceper menjadi cetek, ikan mati, air sungai busuk dan sawah kering sehingga menyebabkan ibu menggunakan telaga sebagai sumber. Keadaan ini ialah keadaan 40 tahun yang lalu, iaitu semasa aku masih anak teruna dan ibu masih muda. Kini, ibu dan ayah tiada lagi. Aku pula sudah bercucu. Sungai Ceper masih wujud tetapi sudah mula berubah sejak ibu terjatuh, lalu lumpuh kerana terpijak tunggul lama iaitu sepuluh tahun sebelum ibu meninggal. Pada masa itulah, keluarga aku menderita dan aku berkahwin dengan gadis di kampung itu. Bapa pula sudah tidak gila burung lagi sebaliknya dia hanya menjaga cucu dan menjaga ibu. Ceper kini berbau busuk kerana menjadi tempat pembuangan sampah. Airnya mengalir lesu bersama-sama sampah sarap yang tidak sepatutnya dibuang ke dalam sungai itu. Aku dan isteri telah tua dan kini duduk di rumah menjaga cucu. Pada masa ini, Ceper telah mati dan tidak berfungsi lagi walaupun masih wujud, tidak seperti ibu yang telah tiada di dunia ini.

Tema
Kegigihan seorang ibu dalam mengharungi kehidupan
Ibu gigih mencari rezeki dan banyak bergantung kepada Sungai Ceper yang berfungsi sebagai sumber air kepada tanaman.

Persoalan
1. Persoalan kepentingan air dalam kehidupan.Air Sungai Ceper yang deras dan jernih digunakan oleh ibu untuk mengairi sawahnya.

2. Persoalan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.Sungai Ceper tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam sampah sedangkan sungai ini semakin cetek dan tidak berdaya membawa sampah yang ada di dalamnya

3. Persoalan kasih sayang yang terjalin antara manusia dan alam.Kasih sayang aku kepada ibu dan sungai yang menjadi sumber air dan rezeki di kampungnya.

Plot

Binaan Plot

(i) Permulaan

Aku menerangkan perasaan sayang dan cinta akan Sungai Ceper dan ibu yang banyak berjasa kepadanya.Aku terkenang akan sungai ini yang jernih ,tenteram, deras dan menjadi lubuk ikan. Ibu juga seperti Ceper yang aktif bersawah dan bekerja. Namun, ibu berehat pada waktu malam manakala Ceper sama sahaja pada siang atau malam.

(ii) Perkembangan
Kemarahan ibu kepada Sungai Ceper yang melimpah akibat hujan lebat sehingga memusnahkan tanaman . Ibu juga memarahi sikap suaminya yang sambalewa terhadap tanggungjawab keluarga dan asyik dengan ketitir. Kemarahan ibu semakin memuncak apabila Sungai Ceper semakin cetek akibat kemarau. Hal ini menyebabkan sawah-sawahnya kering , sumber makanan dan minuman terjejas sehingga memaksa ibu menggunakan telaga sebagai sumber air. Setelah 40 tahun berlalu,Sungai Ceper semakin tercemar akibat pengabaian masyarakat. Ibu dan ayah sudah meninggal dunia dan aku telah pun berkeluarga dan mempunyai cucu.

(iii) Klimaks
Ibu meninggal dunia dan Sungai Ceper semakin sakit. Sungai ini semakin cetek, alirannya lambat dan banyak sampah daripada pelbagai bahan buangan berada di perutnya. Airnya busuk kerana bangkai binatang , kain-kain buru , plastik, dan sisa-sisa makanan dibuang ke dalamnya. Bapa juga telah meninggal dunia.

(iv) Peleraian
Sungai Ceper masih mengalir tetapi amat lambat. Keadaannya semakin parah. Aku dan isteri telah tua dan anak-anak pula menggantikan kami. Ceper dikatakan sudah mati kerana airnya sudah tidak bergerak dan timbunan sampah tindih-menindih. Ibu benar-benar telah mati tetapi Ceper walaupun masih wujud tetapi sudah tidak berfungsi lagi.

Teknik Penceritaan

1. Pemerian
Ceper pun serupa. .Ia memancutkan airnya begitu deras bagaikan anak panah yang baru saja lepas dari busurnya.Dan pancutan itu menebuk tebing hingga mencipta lubuk yang dalam-dalam, menyusur dasar bersama-sama ikan yang bercahaya matanya, bersama anak-anak dan bapa-bapa udang, bersama lumut yang lembut kehijau-hijauan dan bercahaya seperti manik-manik dipanah cahaya lampu.

2. Dialog
“Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!”

3. Imbas Kembali
Aku masih ingat waktu itu ibu pun mengamuk juga.Dia marah sangat kepada Ceper sampai menyumpah-nyumpah kerana habis padi buntingnya mati lemas.

Watak dan Perwatakan

 Watak Utama

 Ibu

1. Cekap bekerja.
Ibu boleh melakukan sesuatu kerja dengan cepat bermula selepas Subuh sehingga hampir Maghrib, malah ibu melakukan hampir semua jenis kerja.
2. Rajin .
Ibu rajin membuat pelbagai kerja menggunakan tulang empat keratnya, tanpa bantuan suaminya yang menjadi kaki burung.
3. Bermasyarakat.
Walaupun ibu sibuk bekerja, dia tidak lupa untuk menghadiri kenduri-kendara di kampungnya dan menziarahi orang yang meninggal dunia.
4. Kuat semangat.
Walaupun Sungai Ceper telah memusnahkan padinya akibat banjir namun ibu tidak berputus asa untuk mengusahakan sawahnya semula.

Watak Sampingan
Aku

1. Anak tunggal dalam keluarga.
2. Mewarisi pekerjaan keluarga sebagai pesawah.
3. Sudah berumah tangga .
4. Penyayang.
Aku merupakan seorang anak yang penyayang kerana masih mengingati pengorbanan ibunya walaupun telah 40 tahun berlalu.
5. Bertanggungjawab.
Aku bertanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh dan ayahnya yang tua.

Latar
Latar Tempat

Sungai Ceper

1. Panjang, berliku-liku, jernih, pasir-pasir berbiji halus dan kelikirnya berkilat.
2. Sumber air bagi kehidupan di sekelilingnya.
3. Tercemar kerana menjadi tempat pembuangan sampah sarap.

Latar Masa
1. Masa kini - Aku telah tua, ada anak yang telah besar dan telah bercucu.
2. 10 tahun yang lalu setelah ibu jatuh, lumpuh dan meninggal dunia-ibu sudah tidak
dapat bergerak lagi dan kerja-kerja di sawah diteruskan oleh aku dan isteri.
3. 40 tahun yang lalu - Ketika ibu masih muda dan aku masih teruna.
4. Siang - sewaktu ibu turun mengerjakan sawah padinya.
5. Malam - gambaran tentang Sungai Ceper yang tetap cergas.

Latar Tempat
1. Di sebuah desa - tempat tinggal ibu, aku dan ayah.
2. Kawasan sawah padi - tempat ibu dan orang kampung bekerja.
3. Sebatang sungai - tempat anak-anak kampung merangau ikan.
4. Telaga - tempat ibu mengambil air ketika kemarau.
5. Rimba belantara - tempat bapa berdenak ketitir.
6. Sungai Ceper - tempat penduduk kampung termasuk ibu mendapat sumber air.

Latar Masyarakat
1. Masyarakat petaniMereka mengusahakan tanaman padi secara tradisional. Keluarga aku mewakili sebahagian daripada anggota masyarakat yang mengusahakan tanaman padi secara tradisional seperti menajak dan menyisir selut.

2. Masyarakat yang menghadapi kepayahan hidup.Penduduk di desa aku mengalami kesempitan hidup apabila Sungai Ceper melimpah kerana banjir dan airnya kering sehingga tidak dapat mengairi sawah ketika musim kemarau.

3. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab.Bapa sanggup menghabiskan masa mendenak burung ketitir di rimba sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarganya.

Gaya Bahasa
1. Kata ganda - kehijauan-hijauan
2. Simpulan bahasa - naik angin
3. Simile - Ibu tidak lagi cergas waktu malam kerana ibu tidur tergolek bagaikan batang pisang
4. Personifikasi - ….kudengar ngauman Ceper
5. Hiperbola - …Ceper yang memukul dan membedal tebing hingga runtuh tanah-tanah, hingga terbongkeh perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing

Nilai
1. Nilai bertanggungjawab.Sikap bertanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri yang ditunjukkan oleh ibu yang mengusahakan sawah padi bagi menampung kehidupan keluarganya.

2. Nilai kegigihan.Walaupun terpaksa menggunakan tulang empat kerat, ibu tetap gigih bekerja menyara keluarga.

3. Nilai kesabaran.Ibu terpaksa bersabar melayani kerenah suaminya yang kurang memberikan perhatian terhadap kebajikan keluarga.

Pengajaran
1. Kita hendaklah bertanggungjawab menyara kehidupan keluarga agar mereka tidak hidup dalam kesusahan.
2. Kita hendaklah menjaga kerukunan rumah tangga agar tidak berlaku perselisihan faham antara suami dengan isteri.
3. Kita mestilah menyayangi ibu bapa yang telah tua agar kebajikan mereka terpelihara.
4. Kita janganlah mencemarkan alam sekitar kerana perbuatan itu akan membawa keburukan kepada masyarakat.


 Cerpen Israk (Erda Roslan Khairi)
Sinopsis
Cerpen Israk mengisahkan Adam iaitu anak tunggal Wah, telah balik ke kampung bersama-sama isterinya Siti Hawa dan anak-anaknya, Israk dan Mikraj di Kampung Sayong Perak. Keadaan rumah yang serba kekurangan dari segi kemudahan asas dan keselesaan menyebabkan anaknya Israk berasa kurang senang dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan kampung . Namun adiknya Mikraj suka akan suasana kampung dan menyebabkan mereka sering bertikam lidah. Hal ini berlaku kerana Israk telah dibesarkan di luar negara.Tindakan Israk yang sering menghina dan menggores perasaan Wah menimbulkan rasa kurang senang Mikraj dan dia sering mempertikaikan perbuatan Israk terhadap Wah. Perbezaan pendapat ini telah mencetuskan perang mulut antara mereka. Namun Wah tidak suka mereka bertengkar bagai anjing dengan kucing dan mahu mereka berbaik-baik semula walaupun hati Wah terluka. Suatu hari, bekalan air paip di kampung Sayong telah terputus menyebabkan Mikraj mencadangkan agar abangnya mandi di sungai. Namun, Israk telah terjatuh dan Wahlah yang berusaha menyelamatkan Israk sehingga naik ke tebing. Akhirnya, Israk insaf dan berubah. Dia mula memakai baju Melayu, makan nasi, dan mencari jering serta tempoyak untuk dimakan.

Tema
Perbezaan budaya dan kehidupan dalam sebuah keluarga sehingga mencetuskan pertentangan pandangan dan nilai. Israk yang dibesarkan di Perth, Australia mempunyai pandangan yang berbeza dengan adiknya tentang kampung, kehidupan dan diri neneknya Wah.

Persoalan
1.            Persoalan jati diri
Israk yang dibesarkan di Perth Australia tidak mempunyai jati diri ketimuran akibat persekitaran dan cara dia dibesarkan. Hal ini bertentangan dengan sifat adiknya Mikraj yang lebih kukuh dan teguh jati dirinya dengan adat ketimuran.

2. Persoalan kasih sayang seorang nenek terhadap cucunya.Wah seorang nenek yang menyayangi cucunya, walaupun cucunya amat ego dan selalu melukakan hatinya namun Wah tetap sabar.Hal ini terpancar apabila Wah menyelamatkan Israk yang hampir lemas dengan tenaga tuanya.

3. Persoalan tanggungjawab bapa terhadap keluarga.Adam menjalankan tanggungjawabnya kepada anak-anak. Dia membiasakan anak-anak dengan kehidupan kampung di tempat dia dibesarkan agar anak-anaknya tidak sombong dan lupa diri kerana biasa hidup mewah di bandar.

Plot
Binaan Plot

1. Permulaan
Adam, Siti Hawa, Israk dan Mikraj telah pulang ke rumah Wah di Kampung Sayong. Israk anak teruna Adam, kelihatan kurang selesa dengan suasana di kampung kerana selama ini dia dibesarkan oleh datuknya di Perth Australia.

2. Perkembangan
Mikraj, adik kepada Israk seorang remaja yang mudah menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampong. Israk pula ego dengan statusnya sebagai orang bandar dan bakal
bergelar ahli korporat. Perselisihan pendapat antara dua beradik ini semakin memuncak apabila kelakuan dan tingkah laku Israk semakin keterlaluan terhadap Wah. Israk tidak patut menyakiti hati Wah kerana Wahlah yang menjaganya sejak berumur sehari. Pertikaman lidah antara dua beradik itu berlarutan dan telah menyebabkan Wah masuk campur serta menasihati kedua-dua cucunya agar jangan bertekak pasal dirinya lagi.

3. Klimaks
Keputusan air di kampung Sayong telah memaksa Israk ke sungai untuk mandi, setelah dicabar oleh adiknya Mikraj. Israk telah terjatuh ke dalam sungai dan telah diselamatkan oleh neneknya.

4. Peleraian
 Israk keluar dari bilik dengan berpakaian baju Melayu telah mengejutkan keluarganya. Israk mulai mencedok nasi dan gulai malah mencari jering dan tempoyak yang merupakan makanan yang paling tidak disukainya.

Teknik Penceritaan
1. Teknik Dialog

“Abang tak mahu pergi kebun? Apa kata abang pergi sebelum abang menjadi ahli korporat nanti,” rayu Mikraj.
“Tak perlu!” Israk menghayun kata-kata

2.            Teknik Imbas Kembali

Mikraj teringat akan peristiwa yang berlaku pada Wah semasa muda.
Ketika Wah masih remaja (tidak seperti remaja pada masa kini), Lebai Saleh pernah bertakhta di hati Wah. Tetapi terpisah setelah Lebai Saleh mengaji di Mesir………….Mikraj tersentak daripada lamunan yang melangit ketika Wah mengacannya.

3.              Teknik Pemerian

Pagi nirmala. Camar menyanyi mesra bersaing dengan cengkerik menunjuk ketangguhan. Daun-daun melambai-lambai setenang air Sungai Perak. Bot tambang sudah mula beroperasi.

Watak dan Perwatakan
Watak Utama

Israk1. Anak teruna Adam dan Siti Hawa.
2. Merupakan cucu sulung Wah.
3. Ego dan sombong - Israk tidak selesa tinggal di kampung dan makan makanan kampung. seperti petai dan jering.
4. Biadap – Dia sering menyindir dan merungut tentang ketidakselesaan tinggal sehingga menyakiti hati neneknya.
5. Degil – Dia tidak menghormati Wah sebagai neneknya walaupun dinasihati oleh Mikraj.
6. Insaf – Dia sedar akan kesalahannya setelah dia jatuh ke dalam sungai dan diselamatkan oleh Wah.


Mikraj
1. Anak kedua pasangan Adam dan Siti Hawa.
2. Adik perempuan Israk dan cucu kedua Wah.
3. Berjiwa seni – dia berminat dalam bidang sastera dan mengajak Israk berkenalan dengan alam.
4. Penyayang - dia amat menyayangi Wah.
5. Bertanggungjawab - Tidak suka akan tindakan dan sikap abangnya yang keterlaluan terhadap neneknya Wah.

Wah
1. Merupakan ibu kepada Adam dan nenek kepada Israk dan Mikraj.
2. Sudah lanjut usia tetapi masih kuat dan bertenaga.
3. Alim dan taat akan agama – dia sentiasa berwuduk .
4. Penyayang - dia amat menyayangi cucu-cucunya.
5. Tabah - Wah memelihara anaknya seorang diri setelah kematian suaminya yang meninggal dunia sebelum kelahiran anak mereka.
Latar
Latar Masa

1. Musim durian
2. Pada waktu pagi - Israk jatuh di sungai ketika hendak mandi akibat ketiadaan air paip.
3. Kebanyakan peristiwa berlaku pada waktu siang.

 Latar tempat

1. Kampung Sayung iaitu tempat tinggal Wah.
2. Sungai Perak iaitu sungai yang terletak di tepi rumah Wah.
3. Rumah kayu milik Wah.

 Latar Masyarakat

1. Masyarakat yang menghormati orang tua – Mikraj amat menghormati Wah

 2. Masyarakat muda yang sukar menyesuaikan diri dengan suasana kampung.
Israk tidak selesa tinggal di kampung dan makan makanan kampung. seperti petai dan jering.

3. Masyarakat yang bertanggungjawab
Mikraj tidak suka akan tindakan dan sikap abangnya yang keterlaluan terhadap neneknya Wah.

4. Masyarakat yang penyayang
Wah amat menyayangi cucu-cucunya.


Gaya bahasa
1. Simile. ……pantas dan teratur sekali laksana seorang primadona.

2. Dialog
“Lama sampai?” aju Wah dan salam dihulurkan oleh tetamu dari Bukit Antarabangsa itu disambut dengan pantas.
“Baru”.Adam, anak tunggal Wah, segera menjawab.

3. Peribahasa. Sudah terhantuk baru terngadah
Macam anjing dengan kucing .
Bagai air dengan minyak. Entah bila akan bercantum.
Cari-cari bulu ayam bercantum jua akhirnya.

4. Pesonifikasi. Daun pokok pisang melambai-lambainya seolah-olah mengeji.

5. Metafora. Bara kata-kata

Nilai

1. Nilai menghormati ibu bapa.
Israk menolak baik pelawaan ayahnya untuk makan durian bersama-sama keluarganya
2. Nilai ketabahan.
Wah amat tabah membesarkan anaknya tanpa kehadiran suami.
3. Nilai keprihatinan
Mikraj amat prihatin akan perasaan neneknya yang sentiasa terguris dengan perbuatan dan kata-kata abangnya yang seolah-olah mengejek dan memperlekehkan kehidupan miskin neneknya.
4. Nilai kasih sayang
Wah amat menyayangi anak cucunya, sehingga sanggup menggunakan tenaga tuanya untuk menyelamatkan cucunya yang jatuh ke dalam sungai walaupun Israk selalu menyakiti hatinya.
Pengajaran
1. Kita hendaklah menghormati orang yang lebih tua daripada kita terutama dari segi percakapan dan perbuatan kita.

2. Kita mestilah mengetahui asal usul kita agar kehidupan kita selari dengan kehendak agama dan masyarakat

3. Kita haruslah menjaga perlakuan dan kata-kata kita terhadap sesiapa sahaja agar orang di sekeliling kita tidak merasa tersinggung dan kurang senang kepada kita.

4. Kita haruslah sentiasa bersyukur terhadap apa-apa sahaja yang kita nikmati kerana ada orang lain yang tidak bernasib baik seperti kita.

5. Kita mestilah berterima kasih terhadap apa-apa bantuan yang telah diterima.

Pemain Catur (Zaharah Nawawi)

Sinopsis
Enam beradik daripada keturunan ternama dalam permainan catur iaitu Uj, Ul, Us, Uk, Ur dan Um. Mereka terkenal kerana berketurunan al-Hakam iaitu rakan sepermainan Abu Bakar Muhammad Yahya as-Suli, iaitu salah seorang daripada dua pemain shatrani yang disegani di dunia. Uj merupakan anak sulung dalam keluarga tersebut mengajak Um adik bongsunya berlawan permainan catur. Bagi Uj, Um ialah adik yang paling mudah untuk dibentuk berbanding adik-beradiknya yang lain. Dia berharap Um dapat menggantikannya sebagai tonggak keluar. Um semakin berminat untuk bermain catur setelah mendengar kisah kehebatan pemain catur ternama di dunia. Kempen Uj berhasil.


Uj mengajak Um berlawan catur untuk menguji pengetahuan. Um menolak dengan alasan bahawa dia hilang fokus ketika bermain kerana memikirkan soal ibunya yang sedang sakit. Um terpaksa menerima cabaran Uj untuk berlawan catur secara terbuka. Perlawanan berlangsung dengan sengit. Ahli keluarga yang lain tidak menyenangi perlawanan tersebut. Uj hampir kalah. Um berkalih untuk minum. Beberapa detik kemudian buah caturnya telah berubah. Um segera mengalih semula buah catur tersebut. Uj tidak berpuas hati lalu menjerit dan menghentak meja. Uj menuduh Um penipu dan memaksa Um mengaku kalah. Um ke bilik air mencuci muka untuk menenangkan diri. Sekembalinya ke meja apabila duduk, kakinya terkuis sebotol asid di bawah meja. Um berasa amat sakit. Ibunya yang ketika itu sedang sakit berasa amat hiba sehingga diserang angin ahmar.

Keadaan semakin haru-biru, tiada sesiapa yang mengaku bertanggungjawab meletakkan botol asid itu. Berlaku tuduh menuduh antara Um dengan Uj. Ibu meminta mereka bertenang namun, diabaikan. Keluarga tersebut mula berpecah kepada dua, iaitu ada yang menyokong Uj dan ada yang menyokong Um.

Tema
Keruntuhan moral dalam institusi kekeluargaan yang menyebabkan berlakunya perpecahan.Sikap tidak mahu mengalah dan bertolak ansur menyebabkan berlakunya pergaduhan antara Uj dengan Um. Mereka sanggup bertelingkah hanya kerana permainan catur. Malah pergaduhan itu juga telah menyebabkan perpecahan dalam keluarga mereka. Ibu mereka yang sedang sakit juga telah diabaikan.

Persoalan

 1. Persoalan sikap bangga yang menguasai diri.
Sikap Uj dan Um yang tidak mahu mengalah dan mahu menang menyebab mereka bertelagah. Sedangkan hubungan mereka adalah sedarah iaitu adik-beradik.

 2. Persoalan keharmonian dalam keluarga harus diutamakan.
Ibu yang sedang sakit amat risau tentang pergaduhan anak-anaknya yang boleh menyebabkan keharmonian terganggu.

 3. Pengkhianatan sesama ahli keluarga.
Ahli keluarga terutama Uj dan Um bertindak di luar batasan semata-mata untuk menentukan kehebatan mereka dalam permainan catur.

 Plot

Secara keseluruhannya plot drama digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

 (i) Permulaan

 Cerita dimulakan dengan apabila Um mengajak Uj berlawan catur bagi menentukan siapa yang lebih hebat.


(ii) Perkembangan
 Uj berusaha menanam semangat dalam permainan catur kepada adiknya agar mengulangi sejarah kecemerlangan keluarga mereka sebagai pemain catur terhebat. Cerita diteruskan lagi dengan Uj dan Um mula berlawan catur. Perlawanan berlangsung dengan sengit untuk mencari kemenangan.


(iii) Konflik
 Uk berbisik kepada Uj kononnya Um sedang membaca buku catur besar dan tebal yang dibelinya dari luar negara untuk mengalah Uj dan mendapatkan kehormatan keluarga.


(iv) Klimaks
 Pengkhianatan berlaku apabila kaki Um terkena asid yang diletakkan di bawah meja catur.


(v) Peleraian
 Ibu mereka diserang angin ahmar dan keluarga mereka berpecah kepada dua. Satu pihak menyokong Um dan satu pihak lagi menyokong Uj.


Watak dan Perwatakan
 Watak Utama

 Uj
- Abang sulung yang menjadi ketua keluarga.
- Mempunyai lima orang adik dan pandai bermaina catur.
-  Beliau juga adalah penyadang anugerah IGM dalam pertandingan catur.
- Pemarah – cepat panas baran apabila berhadapan dengan cabaran terutama ketika bermain catur.
- Berbangga akan keturunan - Mendedahkan keturunannya yang hebat iaitu al-Hakam juara catur terbaik dunia pada kurun ke-17 kepada Um.
 Bersemangat tinggi -sentiasa mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan yang disertai, serta mahu menaikan nama keluarganya setaraf dengan pemain catur ternama dunia.
- Pilih kasih - hanya mengagungkan adik-beradiknya yang pandai bermain catur sahaja untuk mewarisi penguasaan keluarganya.


Watak Sampingan
 1. Um
-  Adik bongsu kepada Uj.
-  Masih muda dan berpotensi dalam permainan catur.
 - Mempunyai semangat juang yang tinggi - sanggup membaca buku dari luar negara untuk mendalami permainan catur.
- Berani – sanggup menyahut cabaran abangnya walaupun sudah mengetahui akan kehebatan Uj dalam permainan catur.
 - Mengambil berat – Um sentiasa berfikir  tentang kesihatan ibunya sedang sakit darah tinggi.
 - Mementingkan diri sendiri – Um tetap bertelingkah dengan Uj walaupun, telah dilarang oleh ibunya sehinggakan ibunya mengalami angin ahmar.


Teknik Penceritaan / Teknik Plot
1. Pemerian
Pengarang menceritakan tentang watak Uj yang telah berjaya memperoleh gelaran IGM dalam permaian catur.
2. Dialog
Perbualan di antara Uj dengan Um ketika hendak memulakan perlawanan catur sehingga menceritakan akan kehebatan keluarga mereka.

3. Imbas Kembali
Mengimbas kembali akan moyang mereka iaitu keturunan al-Hakam yang amat terkenal dalam permainan catur pada kurun ke 17.

4. Suspens
Pembaca tertanya-tanya akan keputusan perlawanan catur antara Uj dengan Um yang tidak berkesudahan.


Latar
Latar masaBerlaku selama tiga hari tiga malam semasa pertandingan berlangsung antara Uj dengan Um.

Latar tempatRumah keluarga Uj
 Biliik air

Latar masyarakat -Masyarakat yang mahir dalam permainan catur· contohnya keluarga Uj.
 -Masyarakat yang bangga dengan keturunan contohnya Uj
·
yang seringkali menceritakan kehebatan keluarganya bermain catur kepada Um.
-Masyarakat yang kaya raya contohnya Uj dan adik beradiknya menugaskan dua orang doktor untuk merawat ibu mereka yang sakit

Gaya Bahasa
1. Bahasa asing contohnya bahasa Indonesia (ruwet), bahasa Arab (kudrat)
2. Metafora contohnya cahaya kepintaran
3. Simile contohnya … Abang Uj seperti David the Gnome…
4. Sinkope contohnya … kota saya tadi di kanan, ni kenapa di kiri pula? …
5. Peribahasa contohnya … batu api ….

Nilai
1. Nilai keberanian contohnya Um menyahut cabaran abangnya Uj untuk bertanding catur.
2. Nilai kegigihan contohnya Um berusaha bersungguh-sungguh menelaah buku tentang permainan catur.
3. Nilai kasih sayang contohnya Uj menyayangi adiknya Um.

Pengajaran
1. Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh agar berjaya dalam hidup
2. Semangat keberanian perlulah dimiliki oleh setiap individu agar semua cabaran yang ditempuh dapat diatasi dengan baik.
3. Kita hendaklah saling menyayangi antara adik-beradik kita agar kehidupan bahagia dan harmoni.



 Cerpen Memori Seorang Tua (Zahari Affandi)

Sinopsis
 Pak Itam digambarkan seorang sebagai pejuang yang cekal. Dia telah beberapa kali keluar masuk penjara kerana penentangannya terhadap Inggeris. Beliau berhasrat untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke-85. Beliau turut bercadang untuk menjemput wartawan, mahasiswa universiti serta para penduduk Langat ke majlis berkenan bagi berkongsi kisah perjuangannya. Ketika Pak Itam membaca majalah Mastika lama, beliau tersentuh akan paparan Siti Nurhidayah yang menuntut fasakh ketika beliau ditahan di penjara Singapura. Itulah kali terakhir beliau menatap wajah dua orang anaknya, Izwan dan Nuryani Iman.


Tuk Mat merupakan orang yang banyak membantu Pak Itam menguruskan segala persiapan untuk majlis itu dan turut dibantu beberapa orang pemuda kampung seperti Isa, Latif dan Jali. Pada hari yng ditetapkan, Pak Itam lengkap berbaju Melayu menyambut tetamu. Orang kampung memenuhi tempat berlangsungnya majlis tersebut, namun Pak Itam kecewa kerana tetamu dari jauh masih belum sampai. Tambah mengecewakan Pak Itam kerana wartawan akhbar dan televisyen tidak muncul. Pak Itam merasakan segala pengorbanannya selama ini telah dilupakan.

Apabila tiba waktu Zuhur, Pak Itam masuk untuk menunaikan solat. Kaih yang cemas cuba memberitahu perkara yang berlaku kepada Pak Itam. Apabila Tuk Mat mendekati Pak Itam yang terbaring di sejadah, beliau dilihat sudah meninggal dunia. Tetamu yang hadir membacakan surah Yasin untuk jenazah. Pada ketika itu, datang seorang perempuan tua mendekati jenazah membawa sejambak ros. Tatkala orang ramai tercengang memikirkan identiti perempuan tersebut, Tuk Mat menyapu air matanya dan menganggap hajat Pak Itam untuk bertemu isterinya, Siti Nurhidayah telah tercapai.

Tema
 Semangat patriotik, iaitu tentang keinginan seorang tokoh yang ingin berkongsi memori lampaunya dengan masyarakat. Pak Itam ingin berkongsi perjuangan yang telah dilaluinya dengan anak cucunya dalam usaha beliau membebaskan negara ini daripada penjajahan.


Persoalan
 1. Persoalan kesediaan menghadapi cabaran.Pak Itam terpaksa menempuh halangan dalam perjuangannya, iaitu terpaksa keluar masuk penjara kerana perjuangannya bertentangan dengan dasar pemerintahan pada masa itu.

 2. Persoalan rasa tanggungjawab terhadap nasib yang akan dialami oleh anak bangsa.Atas dasar tanggungjawab, Pak Itam berjuang untuk bangsa Melayu kerana dia ingin melihat bangsanya mendapat pendidikan yang tinggi serta tidak menjadi hamba di negara sendiri.

 3. Persoalan jati diri yang teguh.
Pak Itam mempunyai jati diri dan pendirian yang teguh dari usia muda sehingga usianya mencecah 85 tahun.


Plot
 Binaan Plot

 (i) Permulaan

Mengisahkan kehidupan zaman muda Pak Itam yang sering keluar masuk penjara kerana menentang penjajah. Perjuangan untuk memartabatkan orang Melayu amat menebal dalam jiwa Pak Itam.

(ii) Perkembangan
Pak Itam melahirkan hasrat beliau untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke-85 tahun. Sambutan yang julung kali diadakan ini turut bertujuan untuk berkongsi pengalamannya sebagai seorang pejuang. Pak Itam juga turut menyatakan harapannya untuk melihat anak bangsanya hidup dengan sempurna dan bebas daripada sebarang bentuk penjajahan. Tetamu yang hadir pada sambutan majlis hari jadinya agak kurang dan ini menjadikan Pak Itam berasa sedih dan beranggapan bahawa pengorbanannya selama ini kian dilupakan.

(iii) Klimaks
Pak Itam menghembuskan nafas terakhirnya di atas sejadah. Orang ramai yang hadir membaca surah Yasin untuknya.

(iv) Peleraian
Kehadiran seorang wanita yang sudah berumur pada hari kematiannya membawa sejambak ros merah menjadikan penduduk kampung tertanya-tanya. Hanya Tuk Mat mengerti dan berfikir dalam hatinya, hajat Pak Itam kesampaian juga.


Teknik Penceritaan
 1. Pemerian
Pak Itam toleh kiri kanan. Pokok pisang, pokok lengkuas, serai, betik dan rumput-rampai
sekitar rumahnya mengangguk perlahan ditiup angin pagi. Nyaman benar hidup di perkampungan, tetapi…

 2. Dialog
“Dah kaujemput budak-budak suratkhabar?” tanya Pak Itam.
“Sudah!” jawab Tuk Mat.

 3. Imbas KembaliTiba-tiba hatinya dipintali kesayuan. Di mana Siti Nurhidayah? Di mana Izwan dimana Nuryani Iman? Sudah berpuluh tahun berpisah.

 4. Monolog dalamanPak Itam sudah berfikir-fikir, budak-budak surat khabar sudah tentu akan mengerumuninya, menghulur berbelas, mungkin berpuluh kaset perakam suara mahu menemuramahnya.


Watak dan Perwatakan
 Watak Utama

 Pak Itam

1. Berasal dari Kuala Semantan, Pahang.
2. Berumur 85 tahun.
3. Mempunyai isteri iaitu, Siti Nurhidayah dan dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman yang terpisah sejak isterinya meminta fasakh ketika dia di penjara.
4. Mempunyai seorang anak angkat bernama Sidah.
5. Suka membaca. -, Pak Itam suka membaca akhbar dan majalah di kerusi malas di kaki lima rumahnya.
6. Seorang nasionalis tulen. - Pak Itam berjuang bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk bangsanya.
7. Seorang yang taat akan perintah agama.- Pak Itam sentiasa beribadat dan menggunakan waktu malam untuk mendekatkan diri kepada tuhan.
8. Baik hati - Pak Itam bersedia melayan tetamu yang datang untuk bertemu dengannya di rumah.

Watak Sampingan
 Tuk Mat

1. Bekas anggota polis.
2. Jiran Pak Itam.
3. Bertubuh sasa, kulit dan batang lengannya masih pejal dan kemas.
4. Rajin. - beliau banyak membantu Pak Itam dalam usaha mengadakan sambutan hari lahirnya.
5. Boleh diharapkan dan berdisiplin -, hal ini diakui oleh Pak Itam apabila membandingkan sifat anak-anak muda seperti Isa dan Latif dengan watak Tuk Mat.

Siti Nurhidayah
1. Bekas isteri Pak Itam yang menuntut fasakh ketika Pak Itam berada di dalam penjara.
2. Sempat hadir pada hari kematian Pak Itam.
3. Mempunyai dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman.
Latar
 Latar Masa1. Sehari sebelum hari lahir Pak Itam yang ke-85 tahun- Tuk Mat dan penduduk kampung sibuk menguruskan persiapan untuk majlis kenduri sempena hari jadi Pak Itam.
2. Sebelum Zuhur - Pak Itam masih menanti. Dia amat kecewa. Tuk Mat menyuruhnya berehat.
3. Selepas Zuhur - Kiah menjerit memberitahu Tuk Mat bahawa Pak Itam sakit. Pak Itam meninggal dunia dan bacaan Yasin diadakan.

Latar Tempat1. Kediaman Pak Itam dan halaman rumahnya- tempat majlis kenduri sempena hari jadi Pak Itam dan pameran diadakan .
2. Di kaki lima rumah Pak Itam - tempat Pak Itam duduk sambil membaca akhbar dan majalah seharian di atas kerusi malas.
3. Kampung Pak Itam di Hulu Langat- perkampungan yang nyaman tetapi mula tercemar apabila dua buah kilang dari Korea dan Jepun mula beroperasi.
4. Penjara di Singapura - Siti Nurhidayah, isteri Pak Itam datang bersama dua orang anaknya membawa surat kadi meminta fasakh ketika Pak Itam meringkuk di situ.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat pejuang yang mencintai bangsa dan negara.
Pak Itam sanggup keluar masuk penjara kerana menentang Inggeris demi sayang akan bangsa dan negara.
2. Masyarakat penulis dan wartawan.
Pak Itam mewakili golongan masyarakat yang menentang penjajah menggunakan mata pena.
3. Masyarakat kampung yang masih mengamalkan amalan gotong royong serta bekerjasama.
Tuk Mat dan beberapa orang pemuda kampung yang membantu Pak Itam mengadakan majlis sambutan hari jadi Pak Itam secara besar-besaran.
Gaya Bahasa1. Simile - …kian mengecil seperti sebiji debu
2. Peribahasa - seperti enau di belukar
3. Metafora -tangisan ketakwaan
4. Penggunaan Bahasa Inggeris - vision, Happy Birthday To You
5. Personifikasi - Pungguk di belakang rumah terus merintih, merindu bulan…
Nilai
 1. Nilai pengorbanan.Pak Itam sanggup menolak jawatan sebagai majistret demi cinta akan bangsa dan negara.

 2. Nilai cinta akan negara.
Pak Itam berjuang untuk membebaskan anak bangsanya daripada dibelenggu kemiskinan dan mahu melihat anak bangsanya mendapat pendidikan tinggi.

 3. Nilai bekerjasama.

Semua penduduk kampung tidak kira muda atau tua berganding bahu menjayakan persiapan majlis sambutan hari jadi Pak Itam.

Pengajaran
 1. Kita hendaklah cinta akan bangsa dan negara agar tidak dijajah oleh bangsa lain.
2. Kita wajarlah saling membantu dalam setiap usaha agar pekerjaan menjadi mudah.
3. Kita hendaklah sentiasa mentaati perintah tuhan dengan meningkatkan amal ibadah agar mendapat kesenangan di kemudian hari.
4. Kita haruslah mengenang jasa tokoh yang banyak berkorban untuk bangsa dan negara walaupun masa berubah.

Cerpen Mellisa (Abdullah Hussain)

Sinopsis

Mellisa, seorang gadis Cina, berasa menyesal kerana mengikut ajakan Farid ke pejabat surat khabar yang menyebabkan dia berkenalan dengan Syahid. Peristiwa itu telah membuatkan dia teringat akan Hisyam. Wajah Syahid menyerupai wajah Hisyam iaitu kawannya sewaktu kecil dahulu. Mellisa terkenang akan kemesraannya bersama-sama dengan Hisyam. Mereka selalu bermain bersama-sama dan Hisyam pernah menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Mellisa apabila mereka sudah besar nanti. Malangnya Hisyam telah terkorban dalam peristiwa 13 Mei. Peristiwa hitam itu sukar luput daripada ingatan Mellisa. Justeru, dia memilih peristiwa 13 Mei sebagai latihan ilmiah untuk sarjana muda dalam bidang Sejarah.

 Mellisa jatuh hati kepada Syahid kerana keberaniannya dan hubungan mereka semakin rapat. Namun, keakraban Mellisa dan Syahid tidak lama kerana Mellisa meninggalkan Syahid. Dia mengambil keputusan itu kerana tugas dan tanggungjawabnya kepada tanah air. Dia amat cinta akan negaranya dan memilih untuk mengetepikan perasaan hatinya. Dia menjadi anggota tentera kerana tidak mahu peristiwa 13 Mei berulang lagi.

Tema
Percintaan antara dua insan yang berbeza budaya.
Mellisa seorang gadis berketurunan Cina, pernah menyulam kasih semasa zaman kanak-kanaknya dengan budak keturunan Minang namun kecundang kerana kematian menjemput Hisyam akibat rusuhan 13 Mei. Setelah dewasa, Mellisa jatuh cinta dengan Syahid yang juga pemuda Melayu dan seiras Hisyam namun akhirnya terpaksa meninggalkan Syahid tanpa berita kerana telah dipanggil bertugas sebagai tentera.
Persoalan
 1. Persoalan pengorbanan demi cinta akan negara.
Mellisa sanggup mengorbankan keperluan dirinya dengan meninggalkan orang yang dicintai untuk menyahut panggilan mempertahankan negara.

 2. Persoalan persengketaan antara kaumHasyim dan ibunya telah menjadi mangsa rusuhan kaum pada 13 Mei di Jalan Petaling semasa dalam perjalanan pulang dari rumah keluarganya di hadapan Stadium Negara.

 3. Persoalan kesedaran terhadap sejarah negara.Mellisa yang pernah melalui zaman 13 Mei mengkaji sejarah peristiwa itu melalui tesisnya hingga menimbulkan rasa tanggung jawab kepada negara dan tanah air.


Plot
Binaan Plot
 1. Permulaan

Mellisa atau Mei terperanjat melihat Syahid yang persis Hisyam kekasih zaman kanak-kanaknya setelah diperkenalkan oleh Farid di pejabat surat khabar. Bagi Mei, Hisyam seolah-olah wujud dalam diri jejaka itu menyebabkan mereka mudah mesra dan akhirnya Mei menerima pelawaan Syahid untuk makan tengah hari. Mei seolah-olah telah jatuh cinta pandang pertama kepada Syahid.

2. Perkembangan
Mei teringat akan Hisyam, hero masa kecilnya yang selalu bermain dan menjaga keselamatannya. Hisyam juga sering menyatakan hasratnya akan mengahwini Mei apabila dewasa kelak. Kematian Hisyam dalam rusuhan kaum 13 Mei cukup berbekas dalam dirinya menyebabkan dia sering dihantui pertanyaan demi pertanyaan tentang punca peristiwa tersebut boleh meletus dalam kehidupan masyarakatnya. Akhirnya, persoalan tersebut mendapat penjelasan apabila Mei menjalankan latihan ilmiah untuk ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah. Hubungan kilatnya dengan Syahid semakin akrab.

3. Klimaks
Mei mendapat panggilan menjadi tentera setelah selesai menghabiskan pengajiannya dalam bidang Sejarah. Keputusan Mei meninggalkan Syahid untuk mencapai impiannya membuahkan perasaan marah dalam diri Syahid kerana Syahid berasa seolah-olah dipermain-mainkan oleh Mei.

4. Peleraian.
Akhirnya gadis keturunan Cina ini melupakan keperluan dan angan-angannya untuk menjadi kekasih yang baik dan isteri yang taat demi ingin melihat negara dan rakyatnya hidup dengan aman damai dan harmoni sebagai satu bangsa yang merdeka. Yang penting sekali agar peristiwa 13 Mei itu tidak akan berulang lagi.

Teknik penceritaan
 1. Imbas kembali“Mei, Mei!” kata Hisyam.“Apabila aku sudah bekerja nanti kita kahwin.Mak aku pasti suka. Aku akan ajar kau agama Islam.”
Dia tersenyum. Terhibur dengan ingatannya masa kecil-kecil dahulu.

 2. Teknik PemeriaanDalam kesibukan dan kebisingan bunyi mesin tulis dan komputer bercampur baur dengan deringan telefon dan suara manusia, seorang lelaki berjalan ke arahnya yang sedang berdiri di samping Farid.

 3. Teknik Monolog DalamanAku tidak pernah bertemu dengan orang ini sebelum ini, bawah sedarnya berbisik.

 4. Teknik Dialog“Siapa?”
“Mei! Ada telefon.”
“Okey.Saya datang.”

Watak dan Perwatakan
 Watak Utama

 Mellisa1. Nama panggilannya ialah Mei.
2. Gadis berketurunan Cina dan nenek moyangnya berasal dari Guangdong.
3. Seorang yang lincah, suka bercakap dan bersifat terbuka.
4. Bersemangat patriotik
Mellisa seorang gadis yang sanggup meninggalkan keperluan diri semata-mata kecintaannya terhadap negara dengan menjadi tentera.
5. Mempunyai daya ingatan yang tinggi.
Ingatan Mellisa terhadap semua peristiwa yang pernah berlaku pada zaman kanak-kanaknya bersama Hisyam seolah-olah baru berlaku sedangkan pada masa itu dia baru berumur 5 tahun. Ingatannya ini juga yang menyebabkan dia nekad mencari jawapan punca rusuhan yang meragut nyawa „hero
nya berlaku.
6. Seorang yang terpelajar.
Mellisa merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sastera.

Watak Sampingan
 Hisyam1. Berketurunan Minang.
2. Seorang yang warak - rajin ke masjid terutama pada waktu maghrib.
3. Penyayang - amat menyayangi Mellisa.
4. Rajin – sering membantu ibunya menjual kuih koci dan nasi lemak setiap pagi.
5. Bercita-cita tinggi – dia ingin menjadi peguam atau tentera.

Syahid
1. Pengarah Syarikat surat khabar
2. Wajahnya persis Hisyam.
3. Berani – dia berani menghulurkan salam perkenalan kepada Mellisa.
4. Suka berterus terang – dia berterus terang tentang perasaannya terhadap Mellisa.

Latar

Latar Masa

1. Siang - Pertemuan antara Farid dan Mellisa dengan Syahid di syarikat surat khabar.
2. Senja atau waktu Maghrib - Hisyam ke masjid untuk sembahyang berjemaah.
3. 13 Mei – berlakunya rusuhan kaum yang telah mengorbankan Hisyam.

Latar Tempat
1. Pejabat Syahid - Mellisa dan Farid berjumpa atas urusan kerja
2. Rumah Mellisa, - Hisyam menumbuk anak orang putih yang memegang tangan Mellisa.
3. Kampung Baru- tempat responden Mellisa menghantar sahabat baiknya balik ke rumah pada 13 Mei 1969, yang akhirnya menyebabkan tunangnya meninggal dunia dan mukanya berparut semasa bergelut dengan perusuh.
4. Jalan Petaling, tempat berakhirnya riwayat Hisyam dan ibunya yang dibunuh perusuh.

Latar Masyarakat
 1. Masyarakat muda yang amat cinta akan negaraMellisa amat cinta akan negara lebih-lebih lagi setelah mengetahui peristiwa yang menyebabkan rusuhan kaum yang berlaku pada zaman kanak-kanaknya dahulu.

 2. Masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoniKeluarga Mellisa yang berketurunan Cina duduk sekampung dengan keluarga Hisyam dengan aman dan damai sehinggalah peristiwa berdarah 13 Mei berlaku.

 3. Masyarakat pelajar yang gigih.Mellisa amat tekun menyiapkan tesisnya dengan membuat rujukan terperinci dengan menyemak pelbagai dokumen, buku, akhbar dan majalah.

 4. Masyarakat miskinHisyam tinggal di rumah setinggan.

 5. Masyarakat majmuk yang bersengketa
Akibat sentimen yang ditanam oleh penjajah kepada penduduk Tanah Melayu menyebabkan rusuhan kaum berlaku.

Gaya bahasa
 1. SimileKumisnya yang kecil bak satu garis hitam

 2. PeribahasaBertegang urat leher
Tidak lari gunung dikejar.

 3. PesonifikasiAngin utara itu telah menyerbu masuk ke dalam biliknya.

 4. MetaforaBisul rusuhan

Nilai
1. Nilai kasih sayangMellisa amat menyayangi Hisyam iaitu hero zaman kanak-kanaknya dan tetap terkenang akannya walaupun peristiwa yang meragut nyawa Hisyam telah lama berlalu.

 2. Nilai kegigihan.Mellisa amat tekun dan gigih mencari maklumat tentang peristiwa yang mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969, dengan mengumpul bukti bukan sahaja melalui pembacaan daripada pelbagai dokumen, tetapi melalui pertemuan bersama-sama responden yang terlibat secara terus dengan peristiwa berdarah itu.

 3. Nilai keberanian.Hisyam amat berani melindungi Mellisa. Hisyam telah menumbuk anak orang Inggeris yang memegang tangan Mellisa. 

4. Cinta akan tanah airMellisa seorang gadis yang sanggup meninggalkan keperluan diri semata-mata kecintaannya terhadap negara dengan menjadi tentera

 Pengajaran

 1. Kita haruslah menyedari bahawa pertelingkahan antara kaum hanya akan menimbulkan masalah.
2. Kita haruslah bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara agar pekerjaan yang kita lakukan akan membuahkan hasil yang memuaskan.
3. Kita janganlah mudah menyimpan dendam terhadap mereka yang melakukan kesalahan terhadap kita.
4. Kita mestilah mempunyai semangat cinta akan negara kerana dengan semangat inilah kita boleh hidup dengan aman dan sejahtera.

Cerpen Biarkan Samudera (Raihanah Salleh)

Sinopsis
Mir atau Amirah mengalami tekanan jiwa. Penyakit tersebut menyebabkan Mir tidak berminat terhadap banyak perkara dan sering menyisihkan diri daripada kawan-kawan serta masyarakat. Mir sering bercakap sendirian dan perlakuan peliknya itu telah disedari oleh sahabat baiknya Hakimah. Semuanya berpunca daripada rumahnya yang dahulu yang terletak di tepi pantai sudah dirobohkan untuk dijadikan tempat peranginan. Disebabkan itu, kehidupannya yang lampau hanya tinggal kenangan. Dia sering teringatkan masa silam bersama ayahnya yang bekerja sebagai nelayan serta pesanan-pesanan ayahnya. Keadaan Mir semakin membimbangkan disebabkan oleh ibunya juga telah meninggal dunia sejak dia kecil lagi. Semuanya datang menghantuinya. Menyedari hal itu, Hakimah sebagai kawan baik mengajak Mir ke kampungnya ketika cuti semester. Hakimah berusaha membantu Mir yang mengalami konflik jiwa itu dengan bantuan ibunya. Ibu Hakimah yang tahu keadaan Mir yang sering menyendiri itu, lalu menghadiahkan telekong berenda. Ibu Hakimah mahu Hakimah membantu Mir mengenali Tuhan yang satu. Kesannya, Mir mula beransur pulih daripada konflik jiwa yang dihadapinya itu. Mir berjanji akan menggunakan telekong pemberian ibu Hakimah. Keadaan ini menggembirakan Hakimah apabila melihat Mir semakin tenang dan beransur pulih.

Tema

Konflik dalaman yang dihadapi oleh seorang pelajar.
Konflik dalaman yang dihadapi oleh pelajar yang bernama Amirah atau Mir adalah disebabkan oleh rumah ayahnya akan dirobohnya untuk dijadikan tempat peranginan. Oleh itu, beliau sering memikirkan akan kesan kehilangan rumah tersebut yang akan menyebabkan kenangan bersama ayahnya juga akan hilang. Jadi beliau sering menyendiri sehingga ada kalanya bercakap sendirian sehinggakan kaunselor menganggap kelakuan tersebut sebagai penyakit skizofrenia.

Persoalan

 1. Persoalan kemiskinan para nelayan
Kehidupan nelayan yang digambarkan melalui watak ayah Amirah terlalu daif melalui keadaan rumah dan juga tempoh masa ayahnya yang berada di lautan. Malah segala-galanya serba kekurangan.

 2. Persoalan keikhlasan dalam persahabatan
Keprihatinan seorang sahabat untuk membantu rakannya yang mengalami tekanan perasaan dapat dilihat melalui usaha ikhlas Hakimah. Hakimah membawanya pulang ke kampung untuk bercuti. Malah, dengan bantuan ibunya yang menghadiahkan telekung akhirnya Amirah beransur pulih daripada tekanan perasaan tersebut.

 3. Persoalan keinsafan untuk mendekati ajaran agama.
Ibu Hakimah menghadiahkan kain telekung kepada Amirah agar beliau dapat mendekatkan diri kepada Tuhan. Usaha itu amat berkesan apabila Amirah mula berubah tingkah laku.

 4. Persoalan kepetingan menjaga alam sekitar
Bapa Amirah sering berpesan kepadanya agar sentiasa menghargai lautan yang mempunyai banyak kepentingan kepada manusia. Oleh itu, Amirah sering membayangkan akan keindahan pantai dan bunyi ombak dalam kehidupannya.

 PLOT

 Secara keseluruhannya plot cerpen digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

(i) Permulaan

 Cerita dimulakan dengan memperkenalkan watak Amirah yang mengalami tekanan perasaan. Amirah dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dan tinggal bersama seorang rakan bernama Hakimah.

 (ii) Perkembangan

 Amirah sering memikirkan kehidupan ayahnya di kampung yang telah berpindah ke rumah panjang kerana rumah mereka di tepi pantai akan dirobohkan untuk dijadikan tempat peranginan. Dia juga sering teringat akan pesanan ayahnya untuk menjaga pantai daripada sebarang pencemaran. Sahabatnya Hakimah cuba membantu dengan cara membawanya pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibunya.

 (iii) Konflik

 Sikap Amirah semakin berubah kerana fikirannya semakin bercelaru memikirkan masalah keluarganya.

(iv) Klimaks

 Ibu Hakimah menyuruhnya mengajar Amirah mendekati diri Tuhan lalu, Ibu Hakimah menghadiahkan kain telekung.

(v) Peleraian

 Amirah berjanji akan menggunakan kain telekung tersebut. Akhirnya Amirah sembuh dan kembali seperti biasa.

Teknik Plot / Teknik Penceritaan

 1. Pemerian
Pengarang memerikan perihal kehidupan ayah Amirah yang bekerja sepanjang hari di dalam lautan mencari rezeki.

 2. Dialog
Perbualan antara Amirah dengan Hakimah membincangkan soal lautan dan juga ombak yang sering didengari oleh Amirah.

 3. Imbas Kembali
Mir mengimbas kembali kata-kata ayahnya yang menyuruh dan memesannya agar menjaga lautan daripada pencemaran.

 4. Suspens
Pengarang membiarkan pembaca tertanya-tanya perkara yang berlaku kepada rumah Mir di tepi pantai.

 5. Monolog Dalaman
Mulut Mir terkumat-kumit mengingati tentang khazanah kehidupan nelayan yang perlu dijaga untuk kelangsungan ekosistem.

 6. Monolog Luaran
Mir mengulangi kata-kata ayahnya tentang apa yang harus dilakukan ketika rumah kesayangan mereka dirobohkan. “apa yang harus kulakukan?”

Watak dan Perwatakan
 Watak Utama

 Mir / Amirah
 - Anak seorang nelayan yang menuntut ilmu di universiti tempatan.
 - Ibunya telah meninggal dunia ketika dia dilahirkan.
-  Anak tunggal.
 - Mengidap penyakit skizofrenia yang menyebabkan Mir menjadi pendiam.
 - Memiliki rambut yang cantik.
 - Seorang yang penyayang - Amirah anak yang baik kerana sentiasa memikirkan nasib dan pesanan ayahnya yang tinggal di rumah panjang.
Watak dan Perwatakan
 Suka menyendiri - Amirah mula berubah sikap mengasingkan kerana tekanan perasaan.
 Tabah - Amirah tetap meneruskan pembelajaran walaupun, dihimpit oleh kesusahan hidup keluarganya.

 Watak Sampingan

1. Hakimah
- Gadis yang sedang menuntut di universiti tempatan bersama-sama dengan Amirah.
 - Ibu yang tinggal di kampung.
 - Sahabat yang baik - Sentiasa bersedia membatu rakannya yang mengalami tekanan perasaan.
 - Prihatin - Membawa Amirah pulang ke kampungnya untuk bertemu dengan ibunya.
-  Penyayang - Hakimah amat baik dengan ibunya dan sentiasa berkongsi segala masalah kepada ibunya.
 2. Ayah
- Ayah kepada Amirah.
 - Bekerja sebagai nelayan.
- Sudah tua
 - Tinggal di rumah panjang di kampung.
-  Badannya agak kurus.
-  Kehidupannya miskin - Rumah yang dibina di atas tanah kerajaan akan dirobohkan untuk pembangunan
-  Redha dengan takdir Tuhan - Menerima nasib dirinya yang terpaksa berkongsi rumah panjang kerana rumahnya di tepi akan dirobohkan.
 - Gigih - Ayah seorang yang kuat semangat untuk terus mencari rezeki di laut bagi menampung kehidupan dia dengan anaknya.
3. Ibu
 - Ibu kepada Hakimah
 - Tinggal di kampung.
 - Seorang yang baik hati - menghadiahkan Amirah telekung dengan niat agar Amirah mendekatkan diri dengan Tuhan.
 - Penyayang - Mendidik anaknya dengan baik sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.
-  Prihatin - Menyedari sahabat Hakimah sakit lalu ibu membantu Amirah agar mendekati diri dengan Tuhan.
 - Patuh kepada ajaran agama - Sentiasa mengingati Hakimah agar mengajar Amirah membaca al-Quran dan mengenali Tuhan yang satu.
Latar

Latar Masa
 Waktu Hujan - Ketika itu Amirah kembali teringat kata-kata dan juga pesanan ayahnya.
 Hari Sabtu - Hakimah mengajak Amirah berjalan-jalan di kota untuk menenangkan fikiran.

 Latar Tempat
Di laut- tempat ayah Amirah yang menjadi nelayan mencari rezeki.
 Di rumah Hakimah – Hakimah membawa Amirah bercuti juga menceritakan masalah Amirah.
 Di Kampung - Bapa Amirah tinggal di rumah panjang di kampung.
 Di Kampus - Tempat Amirah dan Hakimah belajar.
 Latar Masyarakat

 Masyarakat yang saling sayang menyayang - Amirah menyayangi ayahnya yang tinggal di kampung.
 Masyarakat yang prihatin -Hakimah mengambil berat soal kesihatan sahabatnya yang mengalami tekanan perasaan.
 Masyarakat yang berpendidikan tinggi - Amirah dan Hakimah menuntut di Intitusi Pendidikan tinggi tempatan.
 Masyarakat yang miskin - Ayah amirah mewakili sekumpulan nelayan yang tinggal di rumah panjang secara berkongsi dan miskin.
 Masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama - Ibu Hakimah meminta Hakimah menghadiahkan telekung agar Amirah kembali kepada Tuhan yang satu.

 Gaya Bahasa

1. Simile - “Ayah sayangkan laut itu seperti ayah sayangkan kau Mir”.
2. Sinkope – kau, ku dan tak
3. Repitasi - Berpintal-berpintal dan bergulung-gulung. Berpintal-pintal dan bergulung-gulung.
4. Peribahasa - hati perut.
5. Hiperbola - “Aku bercakap dengan ombak dengan samudera.”

 Nilai

1. Nilai kasih sayang - Kasih sayang Amirah kepada ayahnya tidak pernah berbelah bahagi.
2. Nilai prihatin - Hakimah dan ibunya membantu Amirah untuk kembali sihat kerana kasihan kepadanya.
3. Nilai kesabaran – Hakimah kelihatan sabar menghadapi dugaan yang melanda hidupnya apabila rumah mereka akan dirobohkan.
4. Nilai rasional - Ayah Amirah rela menerima suratan takdir yang rumahnya akan dirobohkan untuk pembangunan.
5. Nilai patuh kepada agama – Ibu Hakimah digambarkan sentiasa berpegang kepada ajaran agama sehinggakan menghadiahkan tudung kepada Amirah.

Pengajaran

1. Kita hendaklah tolong-menolong sesama manusia terutama terhadap sahabat yang sedang dalam kesusahan.
2. Kita mestilah sentiasa mengingati Tuhan kerana dengan mengingati Tuhan jiwa akan tenang untuk melalui kehidupan seharian.
3. Kita haruslah berfikiran rasional dalam menghadapi sebarang ujian daripada Tuhan agar kita tidak bertindak di luar batasan.
4. Kita hendaklah menjaga hubungan kekeluargaan terutama dengan ibu dan bapa yang keseorangan di kampung.
5. Kita haruslah menyayangi ibu dan bapa yang telah bersusah payah menjaga dan memberi pendidikan kepada kita.
 

0 Komen:

Catat Ulasan