Pages

Labels

Rabu, 22 Mei 2013

Peranan DBP

PERANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) DALAM MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU MASALAH YANG TIMBUL DALAM MASYARAKAT KINI TENTANG PENGGUNAAN BAHASA MELAYU

Bahasa merupakan suatu wadah pertuturan yang digunakan sebagai medium komunikasi antara satu sama lain. Bahasa Melayu adalah salah satu bahasa pertuturan yang digunakan oleh masyarakat tanpa mengira warna kulit. Bahasa ini telah mula dipertuturkan oleh masyarakat di kepulauan nusantara terutamanya Tanah Melayu. Bahasa Melayu pernah dikenali sebagai ‘lingua franca’ atau dalam erti kata lain sebagai bahasa yang digunakan oleh para pedagang pada masa dahulu untuk menjalankan aktiviti perniagaan mereka di Tanah Melayu. Ini menyebabkan bahasa ini menjadi bahasa yang tersohor pada ketika dahulu. Seiring dengan perkembangan sains dan teknologi, pertuturan dalam Bahasa Melayu semakin berkurangan. Hal ini disebabkan Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa yang utama dalam pertuturan kerana bahasa ini mudah difahami oleh semua pihak. Apakah usaha yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk memelihara Bahasa Melayu?. Siapa yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara Bahasa Melayu?

Justeru, pada tanggal 22 Jun 1956 Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertujuan untuk mengembangkan Bahasa Melayu yang bakal dijadikan bahasa kebangsaan pada ketika itu. Pada tahun 1959, DBP telah dinaikkan taraf sebagai sebuah badan berkanun menerusi Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Dengan penaikan taraf ini, DBP diberi kuasa autonomi bagi menggubal dasarnya yang khusus, menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera, serta menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip dan amalan perusahaan dan profesion penerbitan.

Kepentingan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah begitu penting sehingga ia diiktiraf oleh jabatan kerajaan sebagai Badan Berkanun melalui Akta Parlimen pada tahun 1959 dalam memantapkan lagi pengembangan bahasa sastera. Begitu juga dengan pengaturan rancangan memupuk bahasa sastera dengan baik. Walaupun DBP menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan namun setelah masa beredar melangkaui peredaran zaman kini banyak pecampuran bahasa seperti bahasa rojak yang sedang menular dalam masyarakat masa kini. Oleh itu, dengan adanya DBP masalah penyalahgunaan bahasa ini dapat dibendung. Disamping itu, keaslian bahasa kebangsaan ini tidak dicemar. Begitu juga dengan penggunaan bahasa singkatan. Contohnya, singkatan bagi sungai, bukit, jalan, dan sebagainya. Penggunaan singkatan ini memudahkan penulis surat bagi alamat dan kawasan.

Perkembangan menakjubkan berkenaan dengan Bahasa Melayu dan DBP ialah dapat mengeratkan hubungan diplomatik dua negara. Peranan bagi membina dan memperkayakan bahasa kebangsaan dalam segala bidang termasuk teknologi dan sains secara tidak langsung dapat menjalinkan hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan China yang terjalin sejak lebih tiga dekad yang lalu. Berdasarkan suatu rencana Berita Harian, 22 Ogos 2007 lawatan Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing (BFSU) untuk membincangkan tentang projek sekolah bahasa antarabangsa yang dibina di Pulau Pinang. Di samping itu, DBP juga tidak ketinggalan dalam menyampaikan satu penerangan seperti kuliah yang bertajuk “Kesantunan Bahasa: Gelaran dan Rujukan” yang disampaikan oleh Munsyi Dewan kepada para pelajar BFSU. Hubungan diplomatik yang erat ini dapat mengembangkan bakat kesusasteraan sama ada dalam negara mahupun luar negara. Detik demi detik matlamat DBP makin hampir. Kejayaan 52 tahun dahulu mungkin mampu diulangi dengan gemilang.

Selain itu, DBP juga menjalankan pelbagai program dalam mengusahakan memperkembangkan bakat kesusasteraan. Menurut Berita Harian, DBP mengiatkan program dari semasa ke semasa iaitu Minggu Penulis Remaja dengan motif melahirkan dan memupuk penulis muda. Program ini juga bertujuan melahirkan pewaris ilmu kesusasteraan pada masa depan. Dalam usaha memperkasakan ilmu kesusasteraan ini, DBP sekali lagi menggunakan kaedah penganugerahan bagi menggalakkan sasterawan-sasterawan menceburi bidang ini.

Setiap suatu organisasi itu mesti mempunyai peranan-perananya yang tersendiri. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai peranan yang amat penting bagi memartabatkan maruah dan kepentingan Bahasa Melayu yang semakin hari semakin lesu daripada perhatian daripada pelbagai pihak akibat perkembangan era globalisasi yang hanya mementingkan penggunaan dan penguasaan Bahasa Inggeris khususnya dalam rutin harian setiap masyarakat. Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka ini sentiasa selaras dengan misinya iaitu, "Memperkasakan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu, Bahasa Intelektual dan Bahasa Perpaduan dalam Mendukung Rangkaian Dasar Nasional untuk Membina Bangsa". Dewan Bahasa dan Pustaka berperanan untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi. Sepertimana yang diketahui umum bahawa dalam bidang sains dan teknologi, hanya perkataan-perkataan daripada Bahasa Inggeris yang digunakan untuk membina atau menghasilkan sesuatu penemuan atau penciptaan yang baru khususnya dalam bidang perubatan. Oleh hal yang demikian, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah berusaha dan memainkan peranan yang sangat penting bagi memperkaya bahasa kebangsaan kita iaitu Bahasa Melayu supaya lebih banyak perkataan daripada Bahasa Melayu dihasilkan di dalam bidang-bidang yang pesat berkembang sperti bidang sains dan teknologi.

Menurut Bekas Menteri Kehakiman Malaysia, Dato’ Dr. Sulaiman Hj. Daud (1990: 1) bahawa Dewan Bahasa dan Pustakan (DBP) sejak 20 tahun lalu berjaya menerbitkan tidak kurang daripada 50 judul buku undang-undang Bahasa Melayu. Ini menunjukkan DBP juga bertindak sebagai medium penterjemahaan karya-karya asing. Maka ilmu dari luar dapat diadaptasikan dalam Bahasa Melayu bagi memperkayakan perbendaharaannya.



Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka juga berperanan untuk mencetak dan menerbitkan atau membantu dalam percetakan dan penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan pelbagai bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain. Pihak DBP merupakan sebuah organisasi yang begitu penting dalam industri percetakan dan penerbitan buku-buku, risalah-risalah, kamus-kamus, serta pelbagai bentuk bahan ilmiah kerana ia merupakan salah sebuah organisasi penerbitan yang terbesar di Malaysia. Pihak DBP telah banyak mencetak dan menerbitkan buku-buku untuk sekolah-sekolah seperti buku teks dan buku rujukan yang merupakan bahan ilmiah yang sangat penting bagi pelajar-pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah. DBP juga bergiat aktif dalam menerbitkan buku-buku kesusasteraan Bahasa Melayu mahupun dalam Bahasa Inggeris. Ini bermakna peranan yang dimainkan oleh DBP adalah sangat penting dan ia juga memberi impak yang baik dalam bidang kesusasteraan, pendidikan, dan juga industri percetakan Negara.

Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka juga berperaan untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. Sepertimana yang sedia maklum, tidak ramai atau hanya segelintir sahaja daripada rakyat Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. Majoriti daripada mereka menggunakan Bahasa Melayu yang tidak betul. Sebagai contoh yang paling ketara ialah rakyat Malaysia menggunakan bahasa pasar sebagai bahasa percakapan harian mereka. Bukan sahaja sebagai bahasa percakapan harian, malah notis-notis ataupun risalah-risalah awam yang diedarkan kebanyakannya tidak menggunakan Bahasa Melayu yang betul seperti risalah-risalah ataupun poster-poster untuk konsert dan promosi kompleks-kompleks beli-belah. Oleh hal yang demikian, pihak DBP perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk mengatasi masalah yang telah berleluasa hingga ke hari ini seperti mewujudkan buku-buku dan risalah-risalah dan akhbar-akhbar yang menggunakan dan memperbetulkan penggunaan Bahasa Melayu yang tidak betul di kalangan rakyat Malaysia.

Masalah yg timbul dalam kalangan masyarakat tentang penggunaan Bahasa Melayu juga wujud hasil daripada perkembangan sains dan teknologi. Sebagai contoh, maklumat-maklumat kajian yang diperoleh dari negara asing tidak boleh dimelayukan kerana ia akan menimbulkan masalah dalam kalangan masyarakat. Perkembangan dalam kajian perubatan sehingga hari ini telah melahirkan pelbagai jenis ubat-ubatan yang begitu banyak. Tambahan pula, istilah yang digunakan adalah sama di seluruh dunia. Jika istilah-istilah ini dimelayukan, kekeliruan akan timbul bukan sahaja terhadap pengguna, malahan juga pedagang dan peniaga ubat-ubatan dari negara luar dan ini amat merbahaya.

Selain itu, masalah yang timbul dalam kalangan masyarakat kini berkenaan dengan penggunaaan Bahasa Melayu adalah kesan daripada bahan bacaan ilmiah yang kebanyakannya dalam bahasa asing, contohnya BahasaIinggeris. Buku-buku yang dikarang dalam Bahasa Melayu adalah amat terhad dan ini memberi kesan kepada pelajar-pelajar yang bergantung kepada sumber-sumber rujukan berbahasa Melayu. Kesannya, masalah ini akan menjadi antara faktor penghalang dalam usaha kerajaan mewujudkan masyarakat berilmu dan berpengetahuan luas.

Tambahan pula, penterjemahan buku-buku berbahasa Inggeris adalah kurang kerana langkah ini memerlukan tenaga professional dalam melakukan penterjemahan. Perkembangan sains dan teknologi pada hari ini menimbulkan masalah dalam masyarakat tentang penggunaan Bahasa Melayu melalui teknologi internet dan dunia komunikasi. Contohnya, penggunaan Bahasa Melayu yang salah sangat meluas. Contohnya, wujudnya bahasa ‘sms’ dan bahasa internet yang merosakkan Bahasa Melayu. Isu ini telah membelenggu bukan sahaja Malaysia, malahan juga negara-negara asing seperti Australia dan Eropah sehingga sampai ke suatu tahap dimana penggunaan bahasa sms dibenarkan dan dijadikan bahasa yang sah. Perkembangan dalam bidang sains dan teknologi turut menimbulkan sedikit salah faham tentang maksud sesuatu perkataan. Sebagai contoh dalam bidang penerokaan angkasa lepas, istilah angkasawan merujuk kepada maksud yang sama dengan ‘astronaut’ dan istilah yang digunakan oleh masyarakat di negara China iaitu ‘taikonaut’
Selain itu, perkembangan teknologi juga telah meletakkan Bahasa Melayu pada satu tahap dimana ia dianggap kurang penting kerana peralatan dan perisian komputer pada masa kini menggunakan bahasa-bahasa asing seperti Jepun, Inggeris, dan juga Rusia yg merupakan negara pengeluar teknologi-teknologi tersebut. Kesannya, semangat cintakan bahasa semakin pudar kerana rakyat tidak melihat Bahasa Melayu sebagai satu aset yang penting untuk maju sedangkan kita sepatutnya lebih gigih berusaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu melaui penerokaan dalam bidang teknologi dan sains sepertimana yang dilakukan oleh masyarakat negara Jepun sehinggakan mereka mampu menggunakan seratus peratus Bahasa Jepun dalam semua bidang termasuk sukatan pelajaran di negara mereka.

Dewasa ini, penggunaan bahasa Melayu kian merosot penggunaannya dalam masyarakat terutamanya para belia. Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa asing kepada belia dalam negara kita. Mengapa semua ini berlaku? Tepuk dada tanyalah selera. Mungkin kita perlu melihat permasalahan ini dengan lebih mendalam hingga ke akar umbi. Ini disebabkan isu penggunaan bahasa Melayu bukanlah isu remeh yang boleh dipermainkan oleh sesiapa saja. Tambahan pula, dalam perlembagaan persekutuan ada memperutukkan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menerusi Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Walaubagaimanpun, masih wujud sesetengah pihak yang ego dan sombong dengan mencampuri Bahasa Melayu dengan bahasa Asing. Siapakah mereka?

Isu bahasa rojak bukanlah isu yang baru namun isu ini sudah lapuk. Tetapi masyarakat tidak boleh memandang enteng kerana ini berkaitan maruah negara. Maka tidak wajarlah Bahasa Melayu dijadikan bahasa kedua ataupun bahasa sampingan sahaja dimana sahaja termasuklah institusi undang-undang seperti mahkamah. Menurut Bekas Ketua Hakim Negara, Yang Amat Berbahagia Tun Salleh Abbas (1989: 18) bahawa beliau menyesali peguan-peguam yang tidak menggunakan Bahasa Malaysia yakni Bahasa Melayu ketika membentangkan hujah sebaliknya mengutamakan bahasa penjajah iaitu Bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi mereka dalam lapangan pengadilan. Justeru, pada tahun 1985 beliau telah menggesa supaya Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya di mahkamah rendah, mahkamah majisterit, dan mahkamah tengah.

Kelangsungan daripada cadangan beliau itu, Majlis Peguam Negara (1989: 18) pada tahun 1986 telah membuat keputusan supaya Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya di mahkamah dalam masa 20 tahun akan datang. 20 tahun telah berlalu, sistem perundangan masih belum mencapai matlamatnya dalam penggunaan Bahasa Melayu. Ini disebabkan kurangnya nasionalisme dalam seseorang pengamal perundangan kini. Bahasa Melayu telah ‘dirojakkan’ oleh peguam-peguam ini untuk membuat lontaran hujah.

Oleh itu, penggunaan Bahasa Melayu secara tidak langsung kurang meluas dan kurang efektif. Selain itu, masyarakat dapat melihat bagaimana bahasa mendominasi lapangan perniagaan dan perdagangan sama ada antarabangsa mahupun domestik. Lihat sahaja bagaimana Bahasa Inggeris menghiasi katalog, iklan, dan pembentangan bagi sektor perniagaan kini. Kegagalan Bahasa Melayu menjadi agen utama merupakan suatu yang mengecewakan kerana Bahasa Melayu pernah digelar sebagai ‘lingua franca’ pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Dimanakah kedaulatan Bahasa Melayu?. Meskipun wujud usaha-usaha untuk menjadikan Bahasa Melayu kembali bernafas dalam sektor perniagaan dan perdagangan namun masyarakat kini masih gentar tentang kewibawaan Bahasa Melayu sehinggakan ada pihak yang sanggup mempertikaikannya. Lantas Bahasa Melayu ketinggalan ke belakang daripada bahasa-bahasa asing yang lain seperti Bahasa Jepun dan Bahasa Perancis.

Menurut Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) (1988: 38) bahawa usul penggunaan Bahasa Malaysia ataupun Bahasa Melayu dalam bidang perdagangan dan perniagaan dalam setiap seminar sama ada peringkat negeri mahupun peringkat antarabangsa namun telah ditolak. Ini disebabkan wujud pemikiran sempit daripada beberapa golongan memikirkan bahawa Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, maka Bahasa Melayu tidak wajar menggantikan peranan dalam perniagaan dan perdagangan kini. Apabila menyingkap sejarah dunia, Bahasa Melayu dilihat mampu dijadikan sebagai ‘lingua franca’ abad ke-21. Ini dapat dilihat Bahasa Inggeris digantikan dengan Bahasa Perancis di Quebec, Kanada (1988: 38). Penggantian itu dilakukan menerusi Undang-Undang 101 Negeri Quebec.

Tambahan pula, menurut Perdana Menteri Quebec, Encik Levesque (1988: 38) bahawa kita harus menjamin bahawa orang Quebec akan dapat mengalami perkembangan ilmu dan teknologi pada masa akan datang dalam Bahasa Perancis. Maka hari ini Bahasa Perancis dipertuturkan oleh 130 juta penutur diseluruh dunia (2004). Ini yang perlu dilihat oleh setiap lapisan masyarakat.

Sementara itu, kekangan yang wujud dalam perkembangan penggunaan Bahasa Melayu disebabkan perlumbaan sektor swasta dalam mendominasi Bahasa Inggeris dalam setiap urusan. Menjelang acara Sukan Komanwel 1998, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah menegur penganjur sukan berprestij itu iaitu Ninety Eight Berhad kerana tidak menggunakan Bahasa Melayu dalam kempen dan promosi temasya ke-2 terbesar di dunia itu (1998: 38). Sementara itu, objektif penubuhan Gerakan Bahsa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) gagal kerana kebanyakan syarikat baru di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) masih menggunakan Bahasa Inggeris. Akibat kelonggaran dari segi pelaksanaan maka tidak mustahil Bahasa Melayu bakal dianak tirikan oleh negara sendiri. Presiden BSKL, Yang Berbahagia Dato’ Muhd. Salleh Majid (1998: 38) bahawa tiada peruntukan khas dalam undang-undang mahupun peraturan-peraturan yang khusus dalam pelaksanaan bahasa kebangsaan bagi institusi kewangan dan bank menyebabkan bahasa itu tidak diberi keutamaan dalam komunikasi harian.

Oleh sebab itu, masyarakat hari ini lebih tertumpu dalam penguasaan Bahasa Inggeris daripada memperkasakan Bahasa Melayu. Ini dapa dibuktikan menerusi suatu kajian oleh sebuah syarikat akhbar tempatan mendapati akhbar harian yang paling laris jualannya di Malaysia ialah akhbar Cina yang mencecah 350,000 naskah sehari manakala akhbar Inggeris akhbar kedua tertinggi dan malangnya akhbar Melayu mencatat jualan yang terendah daripada ketiga-tiga jenis akhbar. Natijahnya, masyarkat kini kurang berkomunikasi menggunakan Bahasa Melayu secara tidak langsung orang Melayu dianggap kurang membaca.

Kemerosotan penggunaan Bahasa Melayu tidak harus dilihat secara umum sebaliknya secara khusus. Ini memboleh penumpuan diberika secara lebih proaktif. Justeru, dasar pendidikan negara perlu dipertikai kerana dasar ini yang menjadi akar kepada perkembangan Bahasa Melayu kini. Apabila kita menoleh sejenak ke belakang awal 80-an dimana kerajaan giat mempromosikan penggunaan Bahasa Melayu dalam masyarakat Malaysia. Namun usaha tersebut terbantut dipertengahan jalan kerana wujud anasir-anasir tertentu yang menjadi kekangan.

Menurut Mantan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Majlis Kongres Tamadun Melayu (1989: 43) bahawa pengajian Bahasa Melayu tidak seharusnya hanya mampu menggali, mencari, dan mengilap-gilap terma budaya Melayu yang lama dahulu tetapi seharusnya mampu menganggap perngertian dinamisnya dalam konteks perubahan masyarakat Melayu moden yang sedang memasuki abad ke-21. Kelangsungan daripada menjayakan suatu wawasan yang cenderung ke arah sains dan teknologi, maka Bahasa Melayu telah dikorbankan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Pada tahun 1970, para cendikawan Melayu yang memperjuangkan Bahasa Melayu melahirkan kebimbingan tentang polarisasi di negara ini. Pada dekad itu, Bahasa Melayu ditekankan sebagai Bahasa Perpaduan yang menyatukan masyarakat berbilang kaum pada zaman kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak.

Namun dengan langkah kerajaan memberi penekanan yang serius pada penggunaan Bahasa Inggeris pada tahun 1990-an sehingga mengatasi Bahasa Melayu dalam aspek-aspek kehidupan yang menimbulkan kerisauan kepada para cendiakawan . Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk subjek Sains dan Matematik telah merencatkan perkembangan Bahasa Melayu yang telah diusahakan sejak zaman Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan lagi. Secara tidak langsung ramai pelajar berlumba-lumba menguasai Bahasa Inggeris sehingga sanggup menghabiskan wang beratus-ratus ringgit. Inilah fenomena masyarakat kini yang mampu melenyapkan khazanah bangsa dan negara.

Tambahan pula, mengikut statistik pungutan pendapat yang dijalankan oleh Bernama (www.bernama.com) (2001: 1) tentang ‘adakah Bahasa Melayu relevan dalam pengajian tinggi swasta? dan adakah ianya harus ditingkatkan?’ mendapati 94 peratus daripada 110,000 undian dicatatkan oleh laman web tersebut tidak mahu penggunaan Bahasa Melayu digunakan di universiti-universiti dan kolej swasta. Ini mengambarkan suatu perspektif baru sudah wujud dalam mentaliti generasi kini bahawa Bahasa Melayu tidak penting lagi sebagai medium pendidikan kini.

Yang memeritkan lagi, kumpulan pakar Bahasa Melayu masih lagi kurang. Meskipun ada beberapa orang namun tidak semua yang menjalankan kajian bahasa (linguistik) seperti Clifford Geertz (1989: 43). Justeru, usaha demi usaha perlu diikhtiarkan supaya Bahasa Melayu tidak terpinggir daripada arus perdana.

Konklusinya, pendekatan secara tuntas perlu diambil setiap pihak berwajib sama ada pihak kerajaan mahupun masyarakat dalam memulihkan dan meneguhkan semula Bahasa Melayu dalam diri setiap masyarakat terutamanya bangsa Melayu. Malahan setiap perancangan tidak harus sekadar melepas batuk ditangga semata-mata sebaliknya perlu dilaksanakan secara konsisten dan efektif. Ini dapat dilihat bagaimana langkah kerajaan membentuk Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya yang diumumkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Pendidikan Malaysia dalam Majlis Perasmian Seminar Pengajian Melayu (1989: 43). Oleh itu, inisiatif sebegini perlu diteruskan. Maka martabat Bahasa Melayu dapat diangkat semula selari dengan Wawasan 2020.

0 Komen:

Catat Ulasan